Azreen kritikal, Umie Aida mohon doakan sahabat baiknya

Gempak
Ogos 15, 2018 20:00 MYT
UMie meminta peminat sama-sama mendoakan kesejahteraan kesihatan Azreen. - Instagram Umie Aida
PELAKON Datin Seri Umie Aida memohon agar mendoakan penyanyi era 90-an, Azreen Manan agar berada dalam lindungan Allah.
Umie Aida berharap Azreen yang dilaporkan sedang kritikal akibat menderita kanser serviks tahap akhir itu kuat melalui dugaan tersebut.
“Me (Umie) mohon anda sedekah al-Fatihah kepada Azreen Manan. Semoga dia dalam lindungan-Nya dan kuat lalui cabaran ini,” katanya.
Umie berkongsi perkara tersebut di Instagram (IG) Story miliknya semalam.
Terdahulu media melaporkan kesihatan Azreen merosot sejak seminggu lalu sebelum dirujuk kembali ke Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya untuk mendapatkan rawatan.
Malah suami Azreen turut memberitahu makanan yang dimakan Azreen tidak dapat diproses dan diserap berikutan beberapa organ dalaman sudah tidak berfungsi.
Menyentuh tentang kerjaya seninya sebelum ini, Azreen mula menyanyi pada usia 12 tahun dan mendapat tempat ketiga ketika mewakili Malaysia dalam pertandingan Asia Bagus pada 1992 di Jepun.
Namun dia kemudiannya mengambil keputusan untuk berehat daripada dunia seni setelah berkahwin. Melalui perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata.
#artis #Azreen Manan #Selebriti Malaysia #Umie Aida
;