Azharina disahkan hidap kanser, bakal dibedah

Gempak
Jun 26, 2024 18:32 MYT
Azharina memberitahu dia sedang menunggu keputusan laporan kesihatannya yang bakal keluar dalam tempoh dua minggu lagi.- Gempak
PENYANYI Azharina Azhar, 39, mendedahkan dia menghidap kanser, bagaimanapun masih belum dapat berkongsi lebih lanjut mengenai penyakit yang dihidapinya.
Azharina memberitahu dia sedang menunggu keputusan laporan kesihatannya yang bakal keluar dalam tempoh dua minggu lagi.
Menurut Azharina lagi, dia sepatutnya menjalani dua pembedahan besar namun memilih untuk menangguhkannya bagi melunaskan beberapa tugasan yang belum selesai.
“Saya didiagnos kanser tetapi belum boleh dikongsi kerana masih menunggu keputusan yang tepat dalam tempoh dua minggu lagi.
“Sepatutnya saya menjalani pembedahan pada minggu hadapan tetapi terpaksa ditangguhkan kerana ada beberapa kerja yang perlu dilunaskan.
“Pembedahan itu terpaksa dilakukan atas nasihat doktor akibat masalah kesihatan kerana saya suka makan. Satu lagi pembedahan pula melibatkan kanser yang masih belum dikenali pasti,” katanya kepada Gempak.
Azharina ditemui di majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Realiti duet bersama Kozae di Kadeq Kamek, Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur.
Tambah Azharina lagi, salah satu sebab dia memilih menangguhkan pembedahannya kerana memerlukan masa untuk sembuh.
Dalam pada itu Azharina turut mendedahkan dia juga menghidap penyakit kencing manis sejak dua tahun lalu.
Akui Penyakit Ganggu Emosi
Penyakit itu diakui menganggu aktiviti harian dan emosinya tetapi Azharina memilih untuk berfikiran positif.
“Saya juga insan biasa, kalau sakit tentulah akan menangis. Biasanya saya akan dengar lagu-lagu galau untuk redakan perasaan.
“Tetapi saya selalu ingatkan perlu positif demi anak-anak dan pekerja. Apa pun yang terjadi hidup tetap perlu diteruskan.
“Saya kena tempuh ujian ini walaupun perit dan menyakitkan,” katanya.
Terdahulu, penyanyi itu pertama kali mendedahkan penyakit dihidapi ketika menjadi tetamu undangan untuk program No Filter bersama pengacara Elly Mazlein.
Menurut Azharina, dia mengalami pendarahan teruk sewaktu menyertai program All Stars Gegar Vaganza (GV10) pada September 2023.
Walaupun tidak mendedahkan secara khusus, namun doktor yang merawatnya ada menasihatikan agar dia menjalani pembedahan dan rawatan kimoterapi.
*Artikel disiarkan di Gempak
#Azharina Azhar #Hidap kanser #All Stars Gegar Vaganza #kencing manis #pembedahan besar
;