Azan Scan sempat buat persembahan sebelum kena serangan jantung
Faida Rahim
Julai 8, 2024 18:30 MYT
Julai 8, 2024 18:30 MYT
KAJANG: Vokalis kumpulan Scan, Azan memaklumkan dia kini berada di Hospital Kajang untuk rawatan susulan selepas mengalami serangan jantung pada Khamis lalu.
Ringkasan AI
- Serangan Jantung dan Rawatan: Azan, vokalis kumpulan Scan, mengalami serangan jantung dan ditempatkan di Hospital Kajang. Doktor telah melakukan prosedur rawatan angiogram untuk mengesan bahagian tersumbat dan memasukkan satu stent dengan belon.Sekarang, Azan berada di Wad 2, katil 8 di Hospital Kajang dan berharap untuk pulih sepenuhnya.
- Persembahan Sebelum Serangan Jantung: Azan sempat membuat persembahan sehari sebelum terkena serangan jantung, walaupun keadaannya tidak berapa sihat. Dia meneruskan persembahan solo setelah rakan persembahan, Abang Shafie Rio, harus bergerak ke Muar atas perkhabaran kematian abangnya.
- Harapan untuk Sihat Kembali: Azan meminta doa agar dia dapat pulih secepat mungkin dan kembali beraktiviti seperti biasa setelah rawatan.
Azan yang merupakan peserta program Gegar Vaganza musim kelapan pada 2021 memberitahu dia juga sempat membuat persembahan sehari sebelum terkena serangan jantung.
“Waktu itu saya dan isteri hendak ke Seremban kerana terbabit dengan acara Pasar Saloma. Hari Khamis itu adalah hari kedua kami di sana.
“Saya juga sempat membuat persembahan pada Rabu walaupun keadaan tidak berapa sihat.
“Atas dasar tanggungjawab saya kena selesaikan persembahan pada malam itu,” katanya kepada Astro AWANI.
Dalam pada itu, Azan mengakui persembahan pada malam itu tidak seperti biasa kerana dia berasa tidak bertenaga.
“Saya sepatutnya buat persembahan dengan Abang Shafie Rio tetapi mendapat perkhabaran abangnya meninggal di Muar dan dia perlu bergerak ke sana. Jadi saya teruskan persembahan solo pada malam itu.
“Keesokan hari dada saya mula tak sedap. Sakit dada itu tak hilang dan isteri bawa ke Klinik Kesihatan Beranang. Doktor beritahu bacaan jantung tidak cantik dan doktor sarankan saya ke Hospital Kajang.
“Saya sudah menjalani prosedur rawatan angiogram iaitu proses memasukkan kamera untuk memeriksa mana-mana bahagian yang tersumbat.
“Doktor kata memang ada tersumbat. Doktor sudah masukkan satu stent dengan belon.
"Sekarang dah masuk Wad 2, katil 8 di Hospital Kajang. Doakan saya sihat secepat mungkin dan boleh beraktiviti seperti biasa selepas ini,” katanya lagi.