'Ayuh kita tendang unsur politik dalam industri seni', saran anak Kamil Othman

Muzaffar Mustapa
Mei 2, 2016 23:48 MYT
Satu posting panjang yang ditulis oleh Khairena Kamil Othman, anak Ketua Pengarah FINAS mendapat perhatian umum hari ini.
Posting yang dimuat naik ke media sosial bagi menyatakan sokongan kepada Ketua Pengarah FINAS Datuk Kamil Othman terus datang mencurah-curah hari ini.
Hashtag #KamiSokongKamil muncul kembali menjadi antara topik trending di Twitter sekali lagi hari ini, selepas kenyataan sokongan daripada karyawan tempatan yang berani bersuara disebarluas di media sosial.
Hari ini, satu posting di Facebook oleh anak perempuan Ketua Pengarah FINAS, Khairena Kamil Othman turut mendapat perhatian ramai.
Di awal posting panjang itu, cerita yang dikongsikan oleh Khairena hampir sama jalan ceritanya dengan apa yang telah ditulis oleh pengarah filem Papadom, Afdlin Shauki.
Khairena turut mendedahkan penglibatan sekumpulan pahlawan internet yang menggelarkan diri mereka sebagai "Komrads The Mercenaries" yang berpangkalan di sebuah blog dan Facebook.
Turut dipertikaikan adalah kaitan ahli-ahli kumpulan tersebut dengan industri perfileman tempatan.
Kumpulan itu difahamkan sedang giat merancang untuk melancarkan kempen memburuk-burukkan nama baik ayah, tulis Khairena dalam posting tersebut.
Jelas Khairena lagi, "Ayah saya bukan ahli politik dan beliau tidak kisah akan isu-isu politik dan tidak berkepentingan. Paling penting bagi ayah adalah kecemerlangan industri filem (dan muzik) kerana kedua-duanya adalah minat beliau."
Tambah Khairena lagi, filem dan seni tidak ada kena mengena dengan politik, bangsa dan agama. Sebuah filem yang baik tetap merupakan filem yang baik tanpa mengira siapa penulis, pengarah mahupun penerbitnya.
Posting panjang itu diakhiri dengan saranan agar semua karyawan yang berilmu dan berpendirian agar menolak elemen politik jauh-jauh daripada industri filem tempatan.
Baca posting penuh yang ditulis oleh Khairena Kamil Othman hari ini:
Sementara itu, Astro AWANI turut menerima dua keping foto yang memaparkan Ketua Pengarah FINAS Dato' Kamil Othman dan Presiden GAFIM Dato' Jurey Latif bersalaman dalam satu pertemuan hari ini.
Astro AWANI difahamkan pertemuan itu diatur oleh Datuk Yusuf Haslam.
Kami sedang berusaha untuk mendapatkan reaksi Datuk Yusuf Haslam, namun masih belum berjaya setakat ini.
##KamiSokongKamil #FINAS #Jurey Latif #Kamil Othman #Ketua Pengarah
;