Ayie Floor88 rebah, pengsan di pentas ketika beraksi kerana keletihan
Astro Awani
Januari 15, 2020 12:19 MYT
Januari 15, 2020 12:19 MYT
PENYANYI utama kumpulan Floor88, Ayie yang dilaporkan rebah ketika mengadakan persembahan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada Selasa malam kini berada dalam keadaan stabil.
Menurut pengurus jadual dan persembahan band berkenaan, Luqman Hakim, tiada sebarang perkara yang membimbangkan terjadi pada artis berkenaan susulan insiden itu.
Kata Luqman, sebaik rebah dan pengsan, Ayie diberi bantuan dan ditenangkan oleh anggota Floor88 yang lain serta penganjur persembahan.
"Alhamdulillah keadaan Ayie semakin baik. Tiada apa-apa yang membimbangkan mengenai Ayie. Dia rebah dan pengsan kerana keletihan.
"Jadual Floor88 amat padat sejak beberapa bulan lalu menyebabkan kesemua anggota termasuk Ayie tidak cukup rehat," kata Luqman kepada Astro AWANI ketika dihubungi pada Rabu.
Luqman turut memaklumkan, Ayie tidak mengidap sebarang penyakit dan insiden dia rebah berpunca daripada keletihan.
Sehubungan itu, pengurusan Floor88 juga, kata Luqman, sudah menyusun semula jadual kumpulan berkenaan bagi memberi ruang kepada mereka untuk berehat.
Laporan mengenai Ayie yang bernaung di bawah label Rusa Music rebah dimuat naik dalam laman Instagram band itu pada Selasa malam.
Ayie dilaporkan rebah ketika sedang menyanyikan lagu kedua.
Sehubungan itu, persembahan band berkenaan terpaksa dihentikan serta-merta.
Floor88 mula masyuhr sekitar tiga tahun lalu menerusi lagu Zalikha yang melonjakkan nama mereka dalam industri muzik tanah air.
Band itu dianggotai Ayie Elham, Achoi, Falique, Eric Fuzi, Akram dan Amir.