Ayda Jebat, Nabil Mahir selamat diijab kabul

Harits Asyraf Hasnan
Januari 1, 2021 15:12 MYT
Pernikahan itu disaksikan bapa pengantin lelaki, Datuk Ahmad Mahir Kamarudin dan abang ipar kepada Nabil, Wan Jean Basri Wan Othman. - Foto: Instagram / @ajscreamer
KUALA LUMPUR: Pasangan selebriti, Nabil Mahir, 33, dan Ayda Jebat, 29, selamat diijabkabulkan dalam satu majlis sederhana di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail di sini.
Nabil atau nama penuhnya, Ahmad Nabil Ahmad Mahir menyempurnakan kabul dengan sekali lafaz yang disempurnakan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perkahwinan dan Pembagunan Keluarga di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutan (JAWI), Rozimi Zamri sekitar pukul 3.30 petang.
Pernikahan itu disaksikan bapa pengantin lelaki, Datuk Ahmad Mahir Kamarudin dan abang ipar kepada Nabil, Wan Jean Basri Wan Othman.
Pasangan itu membuka tirai perkahwinan selebriti tanah air bagi kalendar 2021.
Pada majlis yang mengikut norma baharu itu, rombongan pengantin lelaki menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dulang daripada pengantin perempuan dengan mas kahwin berupa seutas gelang emas.
Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga.
Penyanyi dengan nama sebenarnya Nur Suhada Jebat yang popular dengan lagu Pencuri Hati itu, ketika berkata kepada media, bersyukur majlis itu berjalan lancar dengan keutamaan untuk menyempurnakan perkara wajib dahulu.
Terdahulu, Nabil yang juga bekas hos program h Live! melamar Ayda selepas mereka menjalin hubungan cinta selama beberapa bulan.
Pasangan selebriti ini mencuri tumpuan apabila melangsungkan majlis pertunangan dan disiarkan secara dalam talian pada 28 April lalu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan.
#Nabil Mahir #Ayda Jebat #perkahwinan #selebriti #penyanyi #Pengacara
;