Ayda Jebat, Nabil Mahir reda tidak dapat pulang beraya ke Melaka

Asyraf Roslan
Mei 13, 2021 14:03 MYT
Ayda Jebat dan Nabil Mahir akur untuk tidak pulang beraya di Melaka demi kebaikan keluarga dan semua pihak. - Foto/ Instagram/@AydaJebat
KUALA LUMPUR: Ramai yang mengharapkan tahun ini akan memberi makna baharu untuk mereka pulang menyambut Syawal bersama keluarga tercinta di kampung halaman.
Namun dengan kes penularan COVID-19 yang semakin meningkat beberapa minggu ini, kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat kali ketiga yang telah bermula pada 12 Mei.
Pengumuman itu pastinya sukar untuk diterima namun demi kebaikan semua ia harus dipatuhi.
Perkara itu turut dirasai pasangan selebriti, Ayda Jebat dan suaminya, Nabil Mahir yang tidak dapat pulang ke Melaka untuk menyambut hari kemenangan umat Islam itu bersama keluarga Ayda.
“Sejujurnya Nabil tidak merasai sangat kerana keluarga saya semua berada di sini (Lembah Kelang) cuma sedikit terkilan sebab keluarga baharu (keluarga Ayda) berada di Melaka dan saya tak dapat untuk pulang beraya bersama mereka,” kata Nabil kepada Astro AWANI.
Untuk Ayda pula sudah tentu dia merasa sedih kerana ini tahun kedua dia tidak dapat meraikan hari raya bersama keluarganya namun demi kebaikan semua dia akur.
“Masuk tahun kedua saya tidak dapat beraya bersama keluarga saya, tapi saya reda sebab saya tahu ini untuk kebaikan semua, apa yang kita buat ini adalah untuk melindungi keluarga kita juga,” kata Ayda.
Meskipun begitu, Ayda tetap bersyukur kerana dia masih tetap dapat meraikan Syawal, bersama Nabil dan keluarganya yang menetap di Kuala Lumpur.
Ayda yang popular dengan lagu Pencuri Hati turut menasihatkan rakyat Malaysia untuk tidak melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan sentiasa menjaga diri serta keluarga.
Ayda yang kini hamil anak sulung bernikah dengan Nabil pada 1 Januari lalu.
#Ayda Jebat #Nabil Mahir #PKP #COVID-19 #hari raya #Aidilfitri #lembaran baharu #Raya kat Rumah #rakyat Malaysia #Malaysia
;