Ayda Jebat masih pilih pembedahan Caesarean bersalin anak kedua Disember ini

Media Hiburan
September 28, 2023 16:32 MYT
Menurut Ayda, perkara tersebut turut dipersetujui suaminya Nabil Mahir dan membuat keputusan tersebut kerana sudah melalui pengalaman serupa yang disifatkan cukup indah. -Media Hiburan
PENYANYI popular Ayda Jebat yang kini sarat hamil anak kedua mendedahkan dia sekali lagi memilih untuk bersalin secara pembedahan (Caesarean), Disember depan.
Menurut Ayda, 31, perkara tersebut turut dipersetujui suaminya, Nabil Mahir dan membuat keputusan tersebut kerana sudah melalui pengalaman serupa yang disifatkan cukup indah.
“Saya masih memilih untuk bersalin secara pembedahan kerana menerusi pengalaman yang pertama dulu, saya memang dapat suatu momen yang membahagiakan.
“Daripada segi ada yang cakap sejurus bersalin czer, kita akan rasa sakit dan susah untuk jaga. Bagi saya ia tidak betul berdasarkan pengalaman sendiri.
“Mungkin lain orang lain kesannya dan masing-masing boleh memberikan pendapat. Alhamdulillah pengalaman dan momen untuk saya dipermudahkanNya.
“Malah selepas bersalinkan anak pertama, ada kawan Nabil yang bertanya pendapat dan kami hanya berkongsi apa yang dirasakan baik.
“Malah Nabil sendiri ada pengalaman menjaga saya ketika berpantang,” katanya kepada MH.
Ayda berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Muzik Video Be Mine, Sambutan Hari Jadi Ana Nayla & Gender Reveal di Zebra Square, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Maklumnya lagi, dia bakal bersalin anak lelaki hujung tahun ini dan tarikh tersebut perlu dipercepatkan daripada tarikh jangkaan asal.
“Kami sudah pun memilih tarikh untuk bersalin. Sepatutnya bayi dijangka lahir pada 1 Januari tahun depan ketika dalam ulang tahun perkahwinan kami.
“Namun kena pilih tarikh lain memandangkan saya akan dibedah.
“Jadi Insya-Allah saya akan bersalin pada bulan Disember. Mudah-mudahan prosesnya akan berjalan dengan lancar,” katanya lagi. -Media Hiburan
#bayi #Ayda Jebat #Nabil Mahir #caesarean #czer
;