'Ayah babi' - netizen serang insta Dua Lipa

Madiha Abdullah
Mac 7, 2018 12:08 MYT
Instagram Dua Lipa diserang netizen dari Malaysia yang mempersendakan penggunaan perkataan itu. -REUTERS/Neil Hall
CERITA yang satu ini agak kelakar apabila dibaca, namun simpati juga buat penyanyi ini.
Hanya kerana menggunakan perkataan 'babi', penyanyi antarabangsa Dua Lipa terpaksa menyunting kapsyen yang dimuat naik bersama gambar throwback dengan bapanya.
Dalam kapsyen itu, Dua Lipa mengucapkan "Happy birthday, Babi" sempena hari kelahiran bapanya.
Tidak seperti dalam bahasa kebangsaan kita, "Babi" yang digunakan Dua Lipa itu bermaksud "Ayah" dalam bahasa Albania.
Instagram Dua Lipa kemudiannya diserang oleh netizen dari Malaysia yang mempersendakan perkataan itu, malah ada yang mengambil kesempatan menerangkan maksud perkataan itu dalam bahasa Malaysia.
Hebatnya penangan rakyat Malaysia, Dua Lipa kemudiannya menyunting kapsyen berkenaan dengan membuang perkataan "Babi" dan menggantikannya dengan perkataan "Dad".
Namun begitu, ada sebahagian peminat Dua Lipa di negara ini yang bimbang jika penyanyi yang terkenal dengan lagu "New Rules" itu bertindak membatalkan konsertnya di Kuala Lumpur 3 Mei ini akibat terkesan dengan komen-komen sinis berkenaan.
"Dia diserang hanya kerana menggunakan bahasa ibundanya. Rakyat Malaysia perlu belajar menghormati orang lain," tulis seorang pengguna Instagram, @iamkhairuddin.
"Komen rakyat Malaysia terhadap Dua Lipa itu satu penghinaan. Apa masalah orang kita ni?" tulis @denabahrin pula di Twitter.
#Albania #ayah #Babi #Dua Lipa #Instagram #konsert #penyanyi #rakyat Malaysia #Twitter
;