Awie mahu kotakan janji, jaga kesihatan demi keluarga

Gempak
Jun 21, 2024 15:00 MYT
Menurut Awie, keadaannya sudah semakin baik namun, masih belum pulih sepenuhnya.- Foto Gempak
PENYANYI Datuk Awie berkongsi mengenai perkembangan terkini keadaan kesihatannya selepas menjalani pembedahan membuang tumor di bahagian pinggangnya, pada tahun 2021.
Semakin baik tapi belum pulih sepenuhnya
Menurut Awie, keadaannya sudah semakin baik namun, masih belum pulih sepenuhnya.
"Alhamdulillah saya sekarang okey. Nak kata pulih sepenuhnya tidak. Tapi untuk lakukan konsert selama tiga empat jam atas pentas itu insya-Allah masih boleh.
"Menyanyi, melakukan konsert dan berada di atas pentas itu merupakan satu terapi buat diri dan minda saya. Saya akan tenang di atas pentas,” katanya.
Awie berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert "Journey" Awie: Kombinasi Monolog Dan Persembahan Teatrikal Rai 30 Tahun Perjalanan Karier Seni pada Khamis.
Perlu berhati-hati lakukan aktiviti
Dalam pada itu, Awie menjelaskan dia masih perlu berhati-hati melakukan aktiviti harian terutama bersenam selepas menjalani pembedahan tersebut.
“Saya perlu lebih berhati-hati selepas menjalani pembedahan, badan saya pun tidak seperti dahulu.
“Doktor tidak memberikan saranan untuk melakukan senaman berat jadi saya cuba lakukan secara bersederhana untuk kekalkan kecergasan badan saya.
“Saya nak kotakan apa yang saya janjikan, sebab saya janji dengan diri saya, saya ada anak kecil. Kalau saya sakit, saya seksa isteri saya.
“Saya tidak mahu keadaan itu berlaku jadi saya kena sentiasa berada dalam keadaan sihat,” ujarnya.
Terdahulu, sekitar tahun 2021, Awie pernah mendedahkan dia pernah menjalani satu pembedahan tumor pada bahagian buah pinggangnya di sebuah hospital swasta di ibu kota.
Terdahulu, Awie mendedahkan dirinya pernah menghidap penyakit kanser buah pinggang pada tahun 2021 yang lalu.
Bagaimanapun Awie berkata dia bersyukur kanser itu dikesan awal meskipun hatinya luluh selepas doktor mengesahkan perkara itu.
Pada awalnya dia enggan membuat pembedahan namun nekad setelah dipujuk isterinya dan bertemu dengan seorang doktor pakar yang merawatnya.
*Artikel disiarkan di Gempak
#Awie #pembedahan membuang tumor #keadaan kesihatan #konsert
;