Awi Rafael, Farah Asyikin sertai Gema Gegar Vaganza musim kedua
Azyyati Ahmad
Mac 21, 2018 18:11 MYT
Mac 21, 2018 18:11 MYT
GEMA Gegar Vaganza (GGV) kini kembali untuk musim kedua dengan penyertaan enam peserta berkumpulan dan lima peserta solo.
Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata musim kedua ini bakal menyaksikan persaingan lebih sengit dengan kehadiran ramai artis, antaranya Farah Asyikin dan Awi Rafael.
Menurut Raqim, selepas kejayaan mencatat lebih tiga juta penonton digital pada musim pertama, musim kedua GGV ini diharap dapat terus menjadi ruang buat anak seni yang 'berhijrah' memperjuangkan bakat mereka.
“Untuk musim kedua ini, kita banyak mengetengahkan nama-nama arus perdana yang tak membawa lagu bergenre nasyid.
"Ini kerana, ramai di kalangan artis ketika ini ‘berhijrah’ dan kita mahu GGV menjadi platform buat mereka meneruskan perjuangan bakat seni mereka,” katanya di majlis pelancaran bagi memperkenalkan 11 peserta GGV musim kedua (GGV2) kepada media pada Rabu.
Selain Farah dan Awi, peserta lain yang akan menyertai musim kedua ini ialah kumpulan Brothers, Devotees, InTeam, Mestica, Rabithah, Heliza & Hazwani (duo), Adeep Nahar, Fitri Haris dan Ippo Hafiz.
Bertemakan Gema Irama Terindah, peserta akan diadili juri tetap Farihin Abdul Fattah, selebriti Indonesia Oki Setiana Dewi dan seorang juri jemputan setiap minggu.
GGV2 bakal dihoskan penyanyi Siti Nordiana, pelakon dan pelawak Fikry Ibrahim, serta penyanyi Fakhrul UNIC.
Juara musim ini bakal membawa pulang RM100,000 dan sebuah trofi, manakala naib juara RM30,000 berserta trofi.
GGV2 bakal bersiaran selama tujuh minggu bermula 31 Mac pada 9 malam, setiap Sabtu di saluran 106 Astro Oasis dan saluran 135 Maya HD.