Awi Rafael bersyukur masih bernafas selepas kemalangan

Gempak
Jun 11, 2016 17:19 MYT
Ramadan tahun ini lebih istimewa dan bermakna buat diri Awie selepas melalui pelbagai perubahan dalam siri hidupnya. - Foto Astro Gempak
PENYANYI kelahiran Singapura, Awi Rafael mengakui ada hikmah disebalik kemalangan jalan raya yang berlaku pada bulan lalu.

Awi Rafael atau nama sebenarnya Muhammad Namawi Ewan, 30, berkata Ramadan tahun ini lebih istimewa dan bermakna buat dirinya selepas melalui pelbagai perubahan dalam siri hidupnya.

“Selepas kejadian motosikal saya dilanggar sebuah kereta bulan yang lalu, saya sangat bersyukur masih diberi peluang untuk terus bernafas. Alhamdulillah, Allah SWT lindungi dan panjangkan umur saya lagi. Malah rezeki saya dalam bidang seni semakin melimpah ruah.

“Saya juga diberi kepercayaan untuk menghasilkan karya-karya baru untuk program Hey Orang Kita dan kerjasama dengan penyanyi Ayu One In A Million untuk sebuah lagu tema berjudul Beauty Till Jannah.

“Terbaru lagu duet bersama Altimet iaitu Kalau Aku Kaya juga turut mendapat pengiktirafan selepas berjaya mencecah satu juta muat turun di laman internet. Semua ini seakan satu hikmah besar buat kehidupan saya yang semakin meningkat usia,” katanya kepada Astro Gempak.

Awi Rafael ditemui sewaktu majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim anjuran Muslim Volunteer Malaysia dengan kerjasama portal Astro Gempak di Restoran Al-Rawsha, Shah Alam, Selangor.

Tambahnya lagi, dia lebih gembira apabila lagu berciri ketuhanan ciptaannya menerima komen positif para peminat dan pendengar muzik tempatan.

“Saya lihat lagu-lagu ketuhanan yang ditulis saya untuk Aman AF, Datuk Siti Nurhaliza dan Ayai Ilusi mendapat sambutan di luar jangkaan saya. Ini juga satu tanda untuk saya untuk terus bekerja lebih kuat,” ujarnya.

Selain itu, Awi Rafael baka muncul dengan album ketiga selepas beberapa tahun tiada sebarang material terbaru.

“Insya Allah album ketiga bakal dilancarkan selepas hari raya Euforia yang membawa makna mendalam buat diri Awi yang mahukan kesenangan dan ketenteraman jiwa. Sesuai dan fasa hidup saya sekarang yang bersyukur dengan apa yang telah dimiliki.

“Saya ada rakan-rakan yang sentiasa membantu, rezeki dari Allah SWT dan paling utama kehidupan dan jiwa yang selalu tenang,” ujarnya.

#Awie Rafael #jalan raya #kemalangan #Ramadan
;