#AWANITA: 'Didik masyarakat hargai kepelbagaian muzik' - Njwa
Madiha Abdullah
Mac 8, 2019 12:28 MYT
Mac 8, 2019 12:28 MYT
Muzik merupakan salah satu cabang cerminan budaya sesebuah masyarakat.
Kerana itu, penting untuk penggiat seni meletakkan bukan sahaja hati dan rasa dalam muzik mereka, tetapi juga nilai budaya, yang sekali gus menjadi penyumbang dalam pembangunan industri.
Najwa Mahiaddin atau kini dikenali sebagai NJWA antara nama dalam industri muzik yang memperjuangkan genre yang digemarinya, namun dalam masa yang sama enggan melupakan susur galur budaya dan nilai yang dipegang.
"Saya perasan apabila saya buat persembahan di luar negara, saya dapat penerimaan yang baik apabila menyampaikan lagu-lagu berentak tradisional ataupun mempunyai elemen tradisional.
"Bagi mereka, ia sesuatu yang sangat baharu, jadi adalah lebih baik jika memperbanyakkan lagu-lagu sebegini.
"Tetapi ia juga satu struggle untuk saya kerana sebagai artis, saya juga mempunyai integriti sendiri. Apabila saya menghasilkan lagu, penting untuk saya sendiri menyukai lagu berkenaan dan bukan setakat memenuhi kehendak pihak-pihak tertentu.
"Saya juga masih mencari keseimbangan itu, iaitu menghasilkan muzik yang disukai dan berkualiti, dan dalam masa yang sama, dihasilkan dari jiwa dan hati," kata NJWA.
Lebih dikenali dengan genre jazz dan R&B yang mungkin tidak begitu popular dalam kalangan peminat muzik mainstream, NJWA yakin usaha mendidik masyarakat untuk menghargai kepelbagaian muzik adalah satu proses berterusan.
"Kadang-kadang bukan orang tak suka, tetapi mereka tidak tahu kerana tidak didedahkan. Jadi tugas kita sebagai penggiat muzik untuk memperkenalkan kepada mereka.
"Antara cara saya yang gunakan ialah menyanyikan lagu-lagu tersebut dalam persembahan saya, atau berkongsi playlist melalui akaun media sosial," ujarnya lagi.
Mengakui cabaran mencari keseimbangan dalam kehidupan berkeluarga dan kerjaya bukan sesuatu yang mudah, NJWA tetap bersyukur kerana dikurniakan suami dan keluarga yang memahami cintanya terhadap muzik.
"Cabaran saya sedikit berbeza kerana saya bekerja dengan suami, ada masanya kami akan bergaduh tentang kerja dan ia akan terbawa-bawa ke rumah.
"Tetapi kami sentiasa berusaha mencari jalan tengah supaya perkara itu tidak menjejaskan hubungan peribadi kami sebagai suami isteri," jelasnya.
Lulusan Berklee College of Music, Amerika Syarikat ini mahu wanita khususnya wanita muda, agar tidak menjadikan status mereka sebagai penghalang untuk mengecapi kejayaan.
"Kita kena sedar yang ada tempat untuk wanita dalam semua bidang, jadi kita kena tahu hak kita.
"Betul, ada cabaran sebagai wanita tetapi di situlah peranan kita, iaitu menyedarkan masyarakat yang wanita juga mampu berjaya. Sekarang kita ada ramai contoh wanita berjaya di luar sana, tetapi lebih bagus kalau kita mampu menghasilkan lebih ramai lagi.
Justeru, NJWA mahu golongan artis, khususnya artis wanita sedar akan tanggungjawab penting yang dipikul mereka.
"Kalau kita sematkan tanggungajwab itu dalam fikiran, kita akan sentiasa berhati-hati dalam pembawakan kita kerana kita tahu penting untuk menjadi inspirasi kepada orang lain," katanya.
#awanita
#cerminan budaya
#hari wanita
#integriti
#jazz
#media sosial
#muzik
#muzik mainstream
#Najwa Mahiaddin
#NJWA
#penggiat seni
#R&B