#AwaniChat: Hasil penjualan restoran milik Nik Michael Imran terjejas kerana GST
Syafique Shuib
Mei 8, 2015 16:14 MYT
Mei 8, 2015 16:14 MYT
Golongan selebriti turut mendapat ‘tempias’ oleh kerana Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan pihak kerajaan pada April lalu.
Ini kerana restoran PickNik milik chef selebriti Nik Michael Imran Nik Ezar, 25, mengalami penurunan hasil penjualan sehingga 50 peratus.
“Saya agak setuju dengan GST kerana ini antara usaha kerajaan untuk kutip cukai, namun penjelasan kerajaan telah menyebabkan ramai keliru sehingga mereka terus ‘pegang’ kepada duit mereka.
“Orang ramai tidak lagi berbelanja seperti dulu dan industri makanan dan minuman (F&B) turut terjejas,” katanya kepada Astro AWANI.
Nik Michael, yang akan menjadi tetamu #AwaniChat pada 11 Mei, berkata syarikat beliau berdaftar GST pada Disember 2014 dan sejak itu beliau sudah nampak trend makan di luar sudah berkurangan.
“Saya masih ada pelanggan tetap saya tetapi pada tempoh Disember hingga akhir bulan Mac, restoran saya mengalami penurunan hasil penjualan sebanyak 20 hingga 26 peratus. Ketika itu orang sudah mula berjaga-jaga dengan cara perbelanjaan mereka," katanya.
TANYA SAHAJA! Nik Michael Imran menjadi tetamu #AwaniChat pada 11 Mei di Facebook Astro AWANI. Anda berpeluang untuk berborak dengan Nik Michael secara langsung.
Ditanya apa perancangan jangka masa panjang beliau jika trend ini berterusan, Nik Michael berkata beliau terpaksa melakukan penjenamaan semula atau mengecilkan perniagaannya.
“Untuk saya tutup restoran itu terus, itu terlalu mudah. Saya masih ada tenaga dan kelebihan tersendiri.
“Apa nilai saya sebagai seorang chef jika tanpa sebuah restoran? Lagipun PickNik adalah kerja utama saya. Jika saya tidak berada di set penggambaran saya akan berada di PickNik. Hari cuti saya pun dihabiskan di PickNik.
Dalam perkembangan lain, program terbaharu Nik Michael iaitu Cooking For Love bakal ditayangkan di saluran Asian Food Channel (Astro 703) pada bulan Julai dan Ogos di Malaysia dan juga lebih daripada 10 negara lain.
“Kami akan masak untuk beberapa keluarga di Singapura yang mempunyai latar belakang yang berbeza. Sedikit sebanyak ia merupakan satu cabaran kerana kita harus masak mengikut kehendak keluarga itu.
Sebagai contoh, ada keluarga yang mahukan makanan nyonya dan saya tidak mahir dengan masakan nyonya. Jadi saya harus belajar dan berikan yang terbaik,” kata beliau.
#AwaniChat
Secara eksklusif di Facebook Astro AWANI, Nik Michael Imran akan menjadi tetamu #AwaniChat, di mana anda berpeluang untuk tanya apa sahaja solalan untuk Nik Michael.
Ia akan diadakan pada hari Isnin (11 Mei) pada jam 1 petang.
“Saya mahu orang ramai tanya saya tentang masakan, tentang bahan-bahan yang perlu digunakan, atau soalan tentang industri F&B… saya sudah bersedia,” kata Nik Michael ketika mengakhiri perbualan.