Awal Ashaari nafi guna Lara Alana raih pendapatan
Gempak
Mei 30, 2016 15:23 MYT
Mei 30, 2016 15:23 MYT
PENGACARA Awal Ashaari menafikan dakwaan yang mengatakan dia menggunakan anaknya, Lara Alana, untuk meraih pendapatan.
Anak sulung kepada Awal dan Scha Alyahya itu kini menceburkan diri dalam dunia hiburan sebagai model serta duta produk bersama ibu bapanya.
“Saya dan Scha meneliti terlebih dahulu setiap tawaran yang datang untuk Lara. Kami hanya mengambil tawaran yang bersesuaian dengan status Lara sebagai seorang kanak-kanak.
“Ada banyak permintaan yang terpaksa ditolak, seperti majlis pecah tanah dan juga beberapa majlis yang memerlukan Lara untuk membuat kemunculan istimewa kerana tidak bersesuaian dengan Lara.
“Apa sahaja tawaran dan rezeki yang datang, kami anggap sebagai rezeki kepada Lara. Bila ada orang mengatakan kami menggunakan Lara, perkara itu kedengaran agak kasar.
“Banyak tawaran yang kami terima bersesuaian dengan Lara dan memerlukan penampilan kami sekeluarga. Bayaran yang diterima pula terus dimasukkan ke dalam akaun peribadi Lara dan akan digunakan Lara di masa hadapan,” kata Awal yang ditemui di majlis pelancaran Schawalara x Jakel baru-baru ini.
Menerusi koleksi Schawalara, keluarga itu mengeluarkan koleksi pakaian sempena Hari Raya Aidilfitri yang menjelang tiba.
Untuk koleksi Awal, lebih 40 seleksi baju Melayu dan jubah dikeluarkan manakala untuk koleksi Scha, lebih 50 pilihan baju kurung dan jubah disediakan untuk kaum wanita menyambut Syawal. Menariknya, koleksi Lara turut menampilkan pelbagai pilihan baju kanak-kanak.
“Kami sekeluarga berkolaborasi bersama Jakel dalam mengeluarkan koleksi Schawalara. Koleksi yang ditampilkan adalah diinspirasikan oleh kami. Kami juga turut terlibat dalam penghasilan Schawalara agak produk yang dijual kepada orang ramai mempunyai kualiti,” katanya mengakhiri perbualan.
Koleksi Schawalara boleh didapatkan di semua gedung Jakel di seluruh Malaysia dan dijual bermula 1 Ramadan ini.