Awal Ashaari berang, wanita lempar kata-kata kesat terhadap anak
Gempak
Jun 17, 2014 10:10 MYT
Jun 17, 2014 10:10 MYT
Pelakon Awal Ashaari tidak dapat menahan kemarahan apabila salah seorang pengikut isterinya Scha Al- Yahya di laman instagram memberikan komen kurang sopan terhadap anak mereka yang bakal lahir tidak lama lagi.
Kejadian itu berlaku selepas Scha memuat naik foto yang diambil ketika parti ‘Baby Shower’ yang diadakan oleh rakan-rakannya secara mengejut pada Ahad.
Pengikut yang hanya dikenali sebagai ‘_Sawawa’ itu dengan beraninya memberikan komen dengan kata-kata kesat seakan-akan mengutuk anak dalam kandungan Scha.
Selain itu, wanita tersebut juga menyatakan bahawa dirinya menyampah dengan sikap mengada-ngada aktres itu.
Dalam pada itu, Awal yang kelihatan seperti sudah hilang sabar terus membalas komen wanita berkenaan dengan kata-kata sinis selain menyebarkan gambarnya di instagram untuk tatapan peminat.
Awal bagaimanapun dalam kapsyen tersebut mendoakan agar pengikut berkenaan menjadi orang yang baik.
Berikut merupakan gambar dimuat naik oleh Awal Ashaari yang diambil oleh Astro Gempak menerusi akaun Instagram peribadinya untuk dikongsi bersama pembaca. -- Astro Gempak