Avicii 'bersara' buat selama-lamanya
Agensi
April 20, 2018 07:34 MYT
April 20, 2018 07:34 MYT
Para peminat muzik rancak atau EDM (electronic dance music) dikejutkan dengan berita pemergian seorang disc jockey (DJ) atau produser muzik terkenal, Avicii, pada petang Jumaat.
Menurut kenyataan daripada wakil publisiti Avicii, Ebba Lindqvist, dia menghembuskan nafas terakhir pada usia 28 tahun di Oman.
"Dengan rasa dukacita kami mengumumkan pemergian Tim Bergling yang juga dikenali sebagai Avicii.
"Seluruh keluarganya berkabung dengan berita sedih ini dan kami memohon kepada semua untuk menghormati dengan memberi ruang kepada mereka yang berada dalam detik sukar ini," jelasnya.
Tiada sebab kematian dinyatakan dan tiada kenyataan lanjut dijangka dikeluarkan dalam masa terdekat.
Beberapa bintang besar EDM dan artis terkemuka turut meluahkan rasa sedih selepas mendengar berita kehilangan artis muzik rancak terkenal itu dan memberikan penghormatan terakhir melalui akaun Twitter masing-masing.
"Saya tahu yang saya berpeluang untuk membuat persembahan jelajah muzik ke seluruh dunia, namun saya hanya mempunyai masa yang sedikit untuk menikmati kehidupan saya sebagai orang biasa, iaitu di luar jiwa saya sebagai artis.
"Secara amnya, saya adalah seorang yang berperwatakan introvert, jadi bagi saya ia sangat sukar untuk dilakukan dan berasa terlalu banyak aura negatif yang saya dapat daripadanya," katanya pada waktu itu.
Menurut The Billboard juga, isu kesihatan Avicii diketahui umum sejak beberapa tahun lepas setelah dia mengalami pankreatitis, yang sebahagiannya dipercayai berpunca daripada tabiat mengambil minuman keras secara tidak terkawal.
Pada 2014, Avicii membatalkan kesemua jelajah persembahannya bagi menjalani proses pemulihan selepas pembedahan mengeluarkan pundi hempedu dan apendiksnya.
Dia kemudiannya mengumumkan untuk kembali ke studio dan melancarkan extend play atau EP untuk enam lagu berjudul Avīci (01) pada Ogos 2017, iaitu projek muzik terakhirnya sebelum meninggal dunia.
Bintang EDM Eropah yang terkenal dengan hits seperti Wake Me Up dan Hey Brother itu pernah merangkul beberapa anugerah seperti American Music Awards, Billboard Music Awards and MTV Europe Music Awards sepanjang kariernya dalam menghasilkan musik rancak.