Avengers: Endgame bocor? Jangan 'spoil' penantian peminat
Nursyazwani Saiful Sham
April 17, 2019 08:26 MYT
April 17, 2019 08:26 MYT
FILEM yang dinantikan ramai peminat, "Avengers: Endgame" dilaporkan bocor.
Beberapa klip pendek dari filem terakhir bagi siri "Avengers" itu mula berlegar di media sosial sejak Selasa.
Malah klip itu dilaporkan dilengkapi dengan sari kata berbahasa Arab.
Menurut portal Gizmodo, ia dikatakan berpunca daripada rakaman semasa proses penyaringan awal filem tersebut.
Disney enggan mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan itu, lapor portal Variety.
Hampa dengan apa yang terjadi, pengarah "Avengers: Endgame", adik beradik Russo menyeru agar orang ramai tidak terus menyebarkan klip tersebut.
MENERUSI perkongsian di Twitter dengan tanda pagar #DontSpoilTheEndGame, orang ramai diminta untuk tidak merosakkan penantian peminat filem ini yang rata-ratanya sudah membeli tiket tayangan.
Filem yang dibintangi pelakon hebat seperti Robert Downey Jr, Chris Evans, Chris Hemsworth dan ramai lagi itu akan mula ditayangkan di Malaysia pada 24 April ini.