Atta, Aurel bina rumah bagaikan istana 'Rumah Baby AHHA' sambut anak pertama
Pa and Ma
Oktober 18, 2021 11:57 MYT
Oktober 18, 2021 11:57 MYT
TIDAK mahu terlambat, pasangan selebriti Indonesia, Aurel Hermansyah dan Atta Halilintar sudah mempersiapkan sebuah rumah untuk menyambut kelahiran bayi perempuan pertama mereka dengan membina sebuah rumah agam bak istana.
Rumah yang dibina semewah hotel lima bintang yang bakal disiapkan tidak lama lagi itu terletak di Bali, malah turut dikenali sebagai Rumah Baby AHHA.
Menurut Atta dan Aurel, rumah yang mula dibina pada tahun 2020 itu adalah hasil daripada kerja keras mereka selama 14 tahun.
Tertunda sekian lama sejak pandemik, kini pembinaan Rumah Baby AHHA diteruskan semula.
Paling menarik, ia merupakan ilham selebriti Raffi Ahmad yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk ruang bawah tanah yang mana menempatkan bilik-bilik untuk dihuni oleh para pekerja serta kemudahan lif bagi urusan turun naik yang lebih lancar dan cepat.
Menurut Atta lagi, ruang bawah tanah itu juga bakal menjadi ruang pejabatnya dan pelbagai urusan kerja.
Manakala di bahagian atasnya pula merupakan ruang khusus untuk seisi keluarga.
Bukan hanya lif, bahkan pelbagai bilik untuk bersantai seisi keluarga turut sama diwujudkan termasuklah arena billiard, kolam renang serta jakuzi.
Manakala bahagian atas pula dilengkapi dengan bilik solat serta padang futsal. Dapatlah pasangan ini bersantai sambil bermain bersama si comel mereka kelak.
Atta dan Aurel yang bakal melahirkan cahaya mata perempuan mereka mengumumkan kehamilan pada Ogos lalu selepas mengalami keguguran pada kandungan pertama.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 3 April lalu di sebuah hotel di Jakarta.
* Artikel asal disiarkan di Pa&Ma.