ATNMY: Ajoi Zainal peserta pertama layak ke episod akhir

Astro Awani
Jun 6, 2021 23:38 MYT
Ajoi yang berasal dari Klang, berjaya mengumpul markah penuh apabila semua 50 juri bangun menyokongnya. - Foto Astro
KUALA LUMPUR: Mohd Khaizol Zainal Abidin atau Ajoi Zainal menjadi peserta pertama program realiti ‘All Together Now Malaysia’ atau ATNMY layak mara ke episod akhir.
Ajoi yang berasal dari Klang, berjaya mengumpul markah penuh atau 100 markah apabila semua 50 juri bangun menyokongnya.
Selain Ajoi, seorang lagi peserta minggu pertama, Najwa Nasir atau Najwa P Ramlee juga layak ke episod akhir.
ATNMY merupakan sebuah pertandingan nyanyian yang terbuka kepada seluruh rakyat malaysia tanpa sebarang had umur bermula malam ini.
Sherry Al Hadad bertindak selaku pengacara ATNMY, manakala Datuk AC Mizal pula merupakan kapten kepada 50 juri profesional.
Kesemua 50 juri yang telah dilantik adalah terdiri daripada barisan penggiat seni tersohor tanah air merangkumi pelbagai cabang yang berbeza.
Program ATNMY ini telah diadaptasi daripada format program antarabangsa popular ‘All Together Now’ yang berasal dari United Kingdom terbitan BBC One.
Program ini juga turut mencetuskan fenomena luar biasa di luar negara sehingga format tersebut telah diadaptasi semula di serata dunia termasuk Australia, Rusia, Turki, Brazil, Norway, Colombia, Denmark, Finland dan Perancis.
Malaysia merupakan negara ke-17 di dunia dan yang pertama di Asia Tenggara menerbitkan program ini untuk versi tempatan.
Penyertaan untuk program ATNMY ini adalah terbuka secara solo, duo, trio ataupun berkumpulan.
Barisan peserta juga bebas memilih genre muzik dan jenis bahasa untuk diketengahkan dalam lagu persembahan masing-masing.
Juara ‘ATNMY’ musim pertama juga bakal membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM50,000 beserta sebuah trofi.
#All Together Now Malaysia #ATNMY #Sherry Al Hadad #AC Mizal #hiburan #Nyanyian
;