Atilia selamat bergelar isteri pada Hari Kemerdekaan
Azyyati Ahmad
Ogos 31, 2014 18:18 MYT
Ogos 31, 2014 18:18 MYT
Penyanyi Atilia Haron, 40 akhirnya selamat bernikah dengan jurutera bunyi Adam Sofian pada pukul 11 pagi tadi yang juga jatuh pada Hari Kemerdekaan ke 57 negara.
Majlis pernikahan tertutup ini telah berlangsung di Saujana Hotel & Resort, Kuala Lumpur.
Kata Atilia, pihak media tidak dijemput kerana ia adalah sebuah majlis ringkas yang diadakan hanya untuk sanak saudara serta rakan terdekat.
“Ia bukanlah majlis rahsia, cukuplah saya war-warkan di Instagram dan kawan-kawan selebriti yang turut memuatnaik gambar majlis ini.
Kawan-kawan juga adalah media saya dalam memberitahu berita pernikahan ini” cerita Atilia ketika dihubungi Astro AWANI.
Atilia bersama ibunya, Salamiah Hassan - Sumber Instagram AtiliaHaron
Atilia dan Adam bersama rakan-rakan terdekat yang hadir - Sumber Instagram AtiliaHaron
Atilia dan Adam selamat bernikah pada pukul 11 pagi, Ahad - Sumber Instagram AtiliaHaron
Beritahu Atilia lagi, gambar-gambar majlis pernikahannya dan suami boleh dilihat di hashtag #atiliaadam.
Antara rakan artis yang hadir adalah Dynas Mokhtar, Yasmin Hani, Aishah Sinclair, Sazzy Falak dan Daphne Iking.
Bercerita mengenai suaminya, Atilia berkata, Adam merupakan jurutera bunyi untuk albumnya sebelum ini dan mereka telah berkawan selama lima tahun sebelum membuat keputusan untuk berkahwin.
“Adam adalah sound engineer saya untuk album Indah, kami dah berkawan selama lima tahun.
Dia seorang yang ringkas, pendiam, disiplin serta workaholic, itu yang menarik di mata saya” beritahu Atilia yang juga merupakan anak kepada penyanyi lagenda, Salamiah Hassan.
Tambah Atilia lagi, majlis resepsi perkahwinannya bakal diadakan selepas Adam pulang dari Amerika Syarikat.
"Adam akan ke Amerika atas urusan kerja dalam dua bulan, Insyallah mungkin selepas itu saya akan adakan majlis resepsi" jelas Atilia lagi.
Ini merupakan perkahwinan kedua buat Atilia atau nama sebenarnya, Raja Puteri Atilia Raja Haron.