Terbaharu, sambutan meriah menyaksikan peminat bola sepak berhimpun di sBRJ Bistro Corner bagi menonton perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) antara Arsenal dan West Ham.
Acara tersebut bukan sekadar menyediakan peluang menonton perlawanan di layar besar, tetapi turut dipenuhi aktiviti menarik seperti trivia bola sepak, permainan mini, dan cabutan bertuah.
Para tetamu juga dihidangkan dengan makanan bufet dan menu istimewa daripada trak makanan Cap Kunci, selaku penaja bersama.
Keunikan acara ini ditambah dengan kehadiran personaliti popular, Keanu Azman dan Alif Hadi sebagai gandingan pengacara, bagi menghiburkan penonton sambil menyampaikan mesej penting tentang kempen #LayanOriJanganCuri.
“Dengan menganjurkan BizOne Watch Party ini, kita dapat mengumpulkan peminat bola sepak untuk makan secara percuma sambil menikmati perlawanan bola secara langsung. Atmosfera di sini sangat meriah, dan yang paling penting adalah tontonan ini melalui platform sah dan dipercayai.
“Dalam masa yang sama, orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat tentang pakej-pakej baharu yang Astro tawarkan,” ujar Keanu Azman.
Bagi Pelakon, Alif Hadi, menonton siaran rasmi bukan sahaja menyokong industri hiburan tetapi juga memastikan pengalaman tontonan berkualiti.
“Bukan setakat bola sepak, tetapi apa sahaja program seperti drama dan sebagainya, penting untuk kita menonton di saluran sah bagi menyokong industri itu sendiri,” jelasnya.
Sementara itu, pemilik sBRJ Bistro Corner, Samir Zaini, turut meluahkan kegembiraannya melihat peningkatan pelanggan di restorannya.
“Sejak melanggan pakej BizOne ini, jumlah pelanggan semakin meningkat setiap minggu. Saya amat gembira kerana ia bukan sahaja menarik lebih ramai penonton, tetapi juga memberikan nilai tambah kepada perniagaan kami,” katanya.
BizOne Watch Party akan diteruskan ke beberapa lokasi lain sepanjang Disember, termasuk Donass Klang, Buharry Klang, dan Uncle Don’s Setia Alam, sebelum kembali dengan edisi baharu pada Februari 2025.
AstroBiz turut menyeru rakyat Malaysia untuk terus menyokong kempen #LayanOriJanganCuri bagi memastikan kelangsungan kandungan berkualiti melalui platform sah.