Astro umum seleksi kandungan segar dengan saluran baharu
Astro Awani
September 15, 2021 14:03 MYT
September 15, 2021 14:03 MYT
KUALA LUMPUR: Sejajar dengan perubahan semasa dalam pilihan dan permintaan pengguna, Astro mengumumkan seleksi kandungan menyegarkan dengan pertambahan saluran-saluran baharu.
Saluran-saluran baharu itu termasuk HBO Family, HBO Hits, SHOWCASE MOVIES, BBC Lifestyle, BBC Earth, Paramount Network, Lifetime dan PRIMEtime, yang akan mula bersiaran 15 September ini.
Selain itu, peminat sukan boleh menantikan tiga saluran baharu iaitu Astro Arena 2, Astro SuperSport 5 dan SPOTV bermula 1 Oktober.
Astro Arena 2 menjanjikan liputan sukan tempatan yang segar dan terkini serta rancangan studio secara langsung untuk WWE, BWF dan banyak lagi dalam format baharu yang akan menarik golongan muda.
Astro SuperSport 5 pula akan membawakan UFC dan Formula 1, sementara SPOTV menjanjikan aksi langsung MotoGP, Wimbledon dan US Open.
Sebagai tambahan, bermula pertengahan Oktober, pelanggan On Demand boleh menantikan dua saluran BBC tambahan iaitu BBC First dan BBC Brit yang menawarkan lebih drama dan program hiburan Britain.
Dalam pada itu sebagai sebahagian usaha Astro memberi nafas baharu kepada kandungan hiburan bahasa Inggerisnya, kedua-dua saluran Discovery Science dan Hello akan diberhentikan selepas 30 September 2021.
Sebagai strategi Disney untuk mendorong penggunaan perkhidmatan penstrimannya, beberapa saluran FOX akan diberhentikan selepas 30 September termasuk FOX, FOX Life, FX, FOX Movies, FOX Action Movies, FOX Family Movies, FOX Sports, FOX Sports 2, FOX Sports 3, dan Nat Geo People.
Pelanggan Astro yang telah mengaktifkan aplikasi Disney plus Hotstar boleh terus menikmati sebahagian besar kandungan dari saluran FOX di aplikasi ini.
Dalam memenuhi permintaan dunia penstriman yang semakin meningkat, Astro menggalakkan pelanggan untuk mendaftar dan menikmati kandungan yang tersedia di aplikasi Astro GO, HBO GO, iQIYI, Disney Plus Hotstar dan terbaharu TVB Anywhere Plus.
Saluran-saluran baharu akan disediakan di TV dan On Demand, dari 12 tengah malam, 15 September 2021. Untuk maklumat lanjut, sila layari astro.com.my/newchannels .