Astro terima Putra Brand Awards 2014 lima kali berturut-turut

Tan Su Lin
April 26, 2014 08:40 MYT
Gergasi penyiaran, Astro dinobat jenama terbaik bagi kategori media dan hiburan, Putra Brand Awards 2014.
Kemenangan itu adalah kali kelima berturut-turut bagi Astro selain stesen Hitz.fm di bawah Astro Radio, berjaya merangkul anugerah gangsa bagi kategori sama.
Ketua Pegawai Komersial Astro Malaysia Liew Swee Lin yang menerima anugerah itu bagi pihak Astro melahirkan rasa besar hati Astro dipilih sebagai jenama kegemaran pengguna di seluruh negara.
"Astro sentiasa komited dalam menyiarkan kandungan terbaik sama ada tempatan mahupun antarabangsa. Kini kami bertambah komited untuk membawakan teknologi lebih baik untuk meningkatkan lagi kualiti dan pengalaman menonton di rumah." ujar Swee Lin.
"Kami ingin penonton berasa seronok menonton kami dan ketawa bersama kami. Kami juga cukup gembira untuk mengetahui penonton Malaysia menonton stesen Astro sekurang-kurangnya 4 hingga 5 jam setiap hari." tambahnya lagi.
Biarpun ia merupakan kemenangan pertama bagi Hitz.fm namun ia menandakan kesetiaan para pendengar yang memilih stesen radio popular itu.
"Komitmen kami di Astro Radio tidak pernah pudar iaitu memberikan yang terbaik kepada pendengar kami dan berubah bersama-sama dalam mengikuti rentak dan citarasa mereka. Kami akan terus memberikan yang terbaik tidak kira sama ada terima anugerah atau tidak." kata Raqeem yang ditemui selepas majlis penyampaian Putra Brand Awards di Petaling Jaya.
Mula diperkenalkan pada tahun 2010, Astro telah membawa pulang Putra Brand Awards bagi kategori media dan hiburan terbaik pada setiap tahun.
Putra Brand Awards merupakan penganugerahan bagi mengiktiraf jenama paling popluar dalam industri, yang dipilih melalui kajian rawak ke atas 6,000 responden pengguna tempatan.
Antara penerima anugerah lain termasuk Nike, 100 plus, Toyota, Maxis, Taylor's University College, Gardenia, dan McDonald's yang memenangi anugerah bagi kategori masing-masing.
#Astro #Putra Brand Awards
;