Astro saji lebih 150 tajuk istimewa sempena ulang tahun ke-25
Umavathi Ramayah
Ogos 16, 2021 18:31 MYT
Ogos 16, 2021 18:31 MYT
KUALA LUMPUR: Bersempena sambutan ulang tahun yang ke-25, Astro melancarkan 'Astro 25' di Saluran 100 yang menyajikan pelbagai program istimewa tempatan dan antarabangsa, bermula hari ini hingga 3 Oktober depan.
Dengan ini, para pelanggan Astro berpeluang menonton lebih 150 tajuk istimewa itu menerusi Astro TV, On Demand dan juga Astro Go.
Pada masa yang sama, Astro turut mengumumkan tema #KitaTeguhBersama sebagai mendasari kempen Hari Kemerdekaan tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan memberitahu, tema itu mencerminkan nilai dan sifat rakyat Malaysia yang bersatu padu terutamanya di waktu sukar pada ketika ini.
"Ini merupakan Hari Kemerdekaan yang teramat istimewa buat kami dan tema yang diangkat pula, #KitaTeguhBersama membawa maksud kita adalah lebih kuat dan baik bersama.
"Ia mencerminkan segala nilai yang kita nampak di kalangan rakyat Malaysia dan boleh dijadikan asas utama untuk kita kembali bersatu padu, baik semula dan berkembang di saat-saat sukar ini," katanya pada sidang media yang diadakan secara dalam talian, di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Tan berkata, Astro akan terus komited dalam usaha menyajikan rakyat Malaysia dengan seleksi kandungan yang penuh variasi, menggabungkan perkhidmatan-perkhidmatan penstriman seperti Astro GO, Disney+ Hotstar, HBO Go, iQIYI dan akan datang, Netflix.
"Kami akan terus mencipta tanda aras baharu dalam menerbitkan program-program tempatan terbaik dan rancangan siaran langsung sebagai hiburan kepada rakyat Malaysia," ujarnya.
Menurutnya, antara dokumentari yang bakal ditayangkan adalaha Tanah Tumpahnya Darah Kita, We Are No Different dan Journey To Stardom.
Pelanggan juga katanya, akan menikmati lebih 150 judul yang membariskan program-program tempatan dan filem-filem serantau, seleksi rancangan realiti dan hiburan kegemaran ramai.
"Jangan lepaskan peluang untuk menonton filem-filem terhebat tanah air seperti Ola Bola, The Journey, Paskal, Polis Evo dan Hantu Kak Limah yang mana telah merekodkan kejayaan pecah panggung, melangkaui jangkaan dan impian ramai.
"Astro dengan rendah hati dan berterima kasih kerana diberi peluang untuk berkhidmat selama 25 tahun kepada rakyat Malaysia. Kami akan terus komited untuk menghiburkan anda semua dengan membawa informasi-informasi terkini merentasi TV, radio, digital dan platform e-dagang," tambahnya.
#Disney
#Astro
#Handry Tan
#Kita Teguh Bersama
#kemerdekaan
#Ulang Tahun 25 tahun
#Saluran 100
#Ola Bola