Astro rai kisah wira kita menerusi kempen #kitasamahero

Israr Khalid
Ogos 8, 2017 21:13 MYT
Menurut Henry, cerita-cerita yang dihantar akan disiarkan pada susur masa laman web tersebut. - Gambar Astro AWANI/ISRAR KHALID
Astro meraikan enam dekad kemerdekaan negara dengan mengangkat kisah masyarakat pelbagai latar belakang menerusi kempen Negaraku 2017.
Setiap lapisan masyarakat dari pelbagai latar belakang – pekerja kilang, penoreh getah, peniaga, guru, buruh, jururawat, malah sesiapa sahaja – diangkat sebagai wira negara yang menjadi tulang belakang kemakmuran Malaysia dari dahulu hingga kini.
Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan berkata, pastinya selama 60 tahun kemerdekaan mengandungi banyak kisah yang perlu diceritakan kepada semua.
“Datuk nenek kita, ibu bapa kita, dan kita semua, orang biasa yang bekerja keras dan menggalas aspirasi pejuang terdahulu untuk membantu membina negara ini.
“Wira tidak didendang yang menjadikan negara ini dan rakyatnya luar biasa,” katanya semasa majlis pelancaran di Kopitiam Ali, Muthu dan Ah Hock di sini, hari ini.
Menurut Henry, cerita-cerita yang dihantar akan disiarkan pada susur masa laman web tersebut.
Selain itu, turut ditayangkan 40 buah program baharu serta 90 buah program bertemakan Malaysia yang boleh ditonton di semua platfrom Astro termasuk perkhidmatan on-demand, aplikasi Astro GO dan NJOI Now.
Antara yang ditumpukan adalah kisah pembentukan Malaysia selepas merdeka dalam dokumentari ‘Road To Nationhood: Formation of Malaysia’ (Bahagian Kedua).
Menurut pengarahnya, Ahmad Yazid, ia merupakan kesinambungan daripada bahagian pertama yang ditayangkan ketika kempen bulan kemerdekaan Astro tahun lepas.
Dalam bahagian kedua, Yazid cuba menceritakan kisah Malaya selepas merdeka dan individu penting di sebalik perjalanan itu.
“Kurang yang kita tengok dalam dokumentari-dokumentari yang pernah diterbitkan tentang peranan penting Tun Abdul Razak serta Lee Kwan Yew dalam pembentukan Malaysia.
Tidak ramai orang tahu dan itu yang saya cuba mahu ketengahkan,” kata Yazid.
Selain itu, kisah perjuangan 114 tentera Malaysia dalam misi menyelamatkan 70 tentera Amerika Syarikat dalam peristiwa ‘Black Hawk Down’ di Somalia pada 1993, turut diceritakan menerusi dokumentari #blackhawkdown (Wira Keamanan).
Diterbit dan diarahkan Azly Murad, dia cuba menggambarkan cerita sebenar di sebalik peristiwa tersohor itu dalam pembikinan yang hanya bermula pada Oktober tahun lepas.
“Selalunya kita cerita tentang perjuangan kita kepada seseorang yang kita kenali, tetapi lain ceritanya tentera Malaysia dalam peristiwa itu yang berkorban atas nama negara untuk menyelamatkan orang negara lain.
“Walaupun berdepan macam-macam kekangan antaranya kegagalan untuk ke lokasi sebenar iaitu di Pasar Bakara atas faktor keselamatan, kita cari jalan lain untuk gambarkan apa yang berlaku,” jelasnya.
Program lain yang menjadi teraju kempen tahun ini adalah tujuh cerita pencapaian menakjubkan rakyat Malaysia dalam ‘Di Puncak Dunia (Extraordinary) Malaysians dan kisah rakyat majmuk dalam drama mini bersiri ‘Anak Merdeka’ yang dibintangi Remy Ishak, Sarah Lian, Thanuja dan ramai lagi.
Semua ini akan disiarkan bermula pertengahan Ogos hingga Hari Malaysia pada 16 September ini.
Orang ramai dijemput menghantar kisah masing-masing ke laman web www.astro.com.my/kitasamahero, dan 100 yang terawal akan dihadiahkan sepasang kemeja-T eksklusif ‘Kita Sama Hero’.
#Amerika Syarikat #Cuba #Hari Malaysia #keselamatan #kitasamahero #Merdeka #rakyat #rakyat Malaysia #tentera
;