Astro Radio perkenal dua jenama baharu, Zayan, goXUAN

Israr Khalid
November 16, 2017 22:30 MYT
Stesen radio Zayan dan goXUAN ditubuhkan Astro Radio sebagai jenama yang dipacu platform digital untuk warganya berinteraksi.
Dunia hari ini semakin pantas, dipacu generasi muda yang kehidupannya bersandarkan alam media sosial, atas platform yang menyediakan segalanya.
Menyedari hal itu, Astro Radio turut tidak terlepas untuk beranjak mengikut perubahan cara kandungan dan maklumat disampaikan, dengan memperkenalkan dua jenama radio baharu iaitu Zayan dan goXUAN.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Jake Abdullah, saluran baharu itu, bersama saluran-saluran lain sedia ada, tidak mahu lagi dilihat sebagai sebuah stesen.
Sebaliknya, katanya, ia mahu menjadi lebih dari itu, iaitu sebagai pentas interaktif antara penyampai dan pendengar untuk berkongsi maklumat dan gaya hidup masing-masing.
“Kami berubah daripada konsep stesen radio kepada konsep sebuah jenama.
“Anda perlu fikir yang ia adalah satu laman web dengan stesen radio, bukan lagi stesen radio yang mempunyai laman web,” katanya kepada Astro AWANI pada majlis pelancaran Zayan di Bangsar hari ini.
Setakat Ogos 2017 sahaja, lebih tiga juta rakyat Malaysia mendengar saluran radio kegemaran mereka secara streaming, menjadikan penubuhan Zayan dan goXUAN sebagai jenama radio yang dipacu platform digital untuk warganya berinteraksi.
Zayan adalah jenama radio Malaysia yang pertama untuk Muslim moden, dengan aspirasi untuk menyediakan komuniti yang semakin berkembang ini dengan muzik, kandungan serta dialog berunsurkan Islam.
“Mengapa Zayan? Saya fikir ada ruangan untuk jenama yang membawa tema ini ke dalam pasaran, terutamanya ketika ekonomi halal sedang meletus ketika ini,” kata Jake.
Zayan sudah ke udara hampir dua bulan dan nyata ia menerima maklum balas yang positif hasil daripada kandungan ilmiah dengan pendekatannya yang cukup santai tetapi sampai.
Mawi, salah seorang penyampai Zayan, berkata jenama radio ini tepat pada masanya ketika anak muda masa kini yang cenderung menolak sesuatu kandungan gaya lama walaupun ia menarik perhatian mereka.
“Kadang-kadang remaja ini mereka mahu belajar agama, tetapi mereka tak mahu yang berat-berat, sukar untuk mereka terima dan hadam.
"Tetapi Zayan adalah platform di mana mereka boleh ambil ilmu dan perkara-perkara positif secara santai,” jelasnya.
Pada masa sama, bintang Akademi Fantasia (AF) 3 yang bergandingan dengan Anas Tahir dalam segmen pagi Salam Bros ini juga bersyukur dan berbesar hati dengan wujudnya jenama radio ini yang selaras dengan jiwa dan gaya hidupnya.
Sebelum bergelar Raja SMS, Mawi pernah menjadi penyampai di majlis perkahwinan atau DJ serta di pasar raya, dan hari ini impiannya sekian lama sebagai seorang penyampai radio akhirnya termakbul.
“Saya masuk AF sebab 'target' saya ketika itu hendak jadi penyampai, sebab tengok ramai bintang AF seperti Nana, Adi dan Burn, menjadi penyampai, dan saya lihat ia satu peluang.
“Dapat masuk AF, saya 'target' dapat seminggu dua kemudian terkeluar okay lah, dapatlah jadi DJ. Tetapi lain pula jadinya, sampai final, tiba-tiba jadi penyanyi.
"Saya tak mahu jadi penyanyi sebenarnya, tetapi dah rezeki, syukur Alhamdulillah. Selepas 12 tahun, akhirnya dimakbulkan (sebagai penyampai radio),” ceritanya.
Selain Mawi dan Anas, Zayan dengan tagline 'Indah Di Hati', turut menampilkan Lin Ariffin, Raqib, dan Falyq sebagai penyampainya.
Aplikasi Zayan boleh dimuat turun secara percuma di Google Playstore dan Apple Appstore dan pendengar boleh berinteraksi dengan penyampainya menerusi platform Facebook, Instagram, Twitter dan Youtube.
Zayyan juga boleh didengari pada saluran 104.9fm di Lembah Kelang, 98.1fm di Alor Setar, 106.4fm di Ipoh, 98.9fm di melaka, 92.8fm di Johor Bahru dan 91.6 di Kuantan.
Sementara itu, goXUAN hadir sebagai penetap trend bagi Generasi Z komuniti Cina di negara ini, memberikan hits terkini, trending dan topik terhangat untuk generasi sosial celik teknologi masa kini.
Tidak seperti jenama radio lain, goXUAN hidup dengan dipacu visual, di mana mereka akan menyiarkan secara langsung dari studio dan kandungan hiburan menerusi platform digitalnya sepanjang hari.
goXUAN boleh dinikmati menerusi aplikasi percuma yang boleh dimuat turun di Google Playstore dan Apple Appstore, begitu juga pendengar boleh berinteraksi menerusi Whatsapp dan platform lain seperti Facebook, Instagram dan YouTube.
Ia juga boleh didengari daripada gelombang radio di 88.9fm di Lembah Kelang dan 107.6fm di Pulau Pinang.
#Astro Radio #digital #GOXUAN #Mawi #radio #Zayan
;