Astro Radio cecah 15.6 juta pendengar mingguan, tertinggi dalam negara
Nickyson Nyambar
November 11, 2021 19:31 MYT
November 11, 2021 19:31 MYT
KUALA LUMPUR : Astro Radio mengukuhkan kedudukannya sebagai pengendali radio tempatan yang mempunyai pendengar tertinggi dalam negara apabila merekodkan jumlah pendengar sebanyak 15.6 juta secara mingguan.
Data ini adalah berdasarkan kajian yang dibuat GfK Radio Audience Measurement (RAM) Wave 2, 2021, kata Astro Radio dalam kenyataannya pada Khamis.
"Kajian RAM Wave 2, 2021 menunjukkan satu peningkatan baharu radio dengan mencapai 96 peratus individu di Semenanjung Malaysia iaitu setara dengan 21.1 juta pendengar radio mingguan, membawa kepada peningkatan 469,000.
"Daripada ini, Astro Radio meningkatkan kadar pasarannya kepada 15.6 juta pendengar mingguan," katanya.
Jelas Astro Radio, rekod ini dijayakan dengan 312.6 juta purata penstriman radio digital dan video bulanan, 24.1 juta pengikut di media sosial dan 103 juta capaian di Facebook secara bulanan.
"Jenama Astro Radio terus kukuh di kedudukan nombor 1 dari kesemua bahasa iaitu ERA, HITZ, MY, dan RAAGA.
"ERA terus mencapai jangkauan mingguan tertinggi di Malaysia dalam kalangan pendengar muda Melayu berusia antara 10 hingga 29 tahun dengan 2.9 juta pendengar.
"Dengan peningkatan 2.6 juta pendengar mingguan, HITZ juga mencapai ‘Pendengar Eksklusif’ tertinggi untuk jenama Inggeris dengan 328,000 pendengar, jumlah segmen pagi tertinggi untuk jenama-jenama Inggeris dengan 1.2 juta pendengar dan merupakan Segmen Petang tertinggi dalam jenama radio Inggeris dengan 1.3 juta pendengar," katanya lagi.
Bagi jenama MY pula, pendengar mingguan turut meningkat dari 300,000 kepada 2.5 juta pendengar. Segmen pagi dan petang mencapai kadar pendengar tertinggi untuk jenama Cina dengan 1.6 juta bagi setiap segmen berkenaan.
"Manakala, RAAGA meningkatkan pendengar mingguannya kepada 1.5 juta. Peningkatan ini juga berdasarkan segmen pagi kepada satu juta pendengar, dan peningkatan segmen petang kepada 936,000 pendengar. RAAGA juga mencatatkan kenaikan ‘Pendengar Eksklusif’ dari 43,000 kepada 622,000," ujar Astro Radio lagi.
Selain itu, prestasi-prestasi cemerlang dalam peningkatan jumlah pendengar turut ditunjukkan jenama Astro Radio yang lain.
"SINAR, kekal menjadi jenama kedua tertinggi di Malaysia yang banyak didengari, dengan 4.6 juta pendengar mingguan.
"GEGAR, jenama radio No. 1 di Pantai Timur yang mencapai 2.3 juta pendengar mingguan.
"MIX mencatatkan peningkatan kepada 1.2 juta pendengar mingguan, dengan segmen pagi dan segmen petang masing-masing meningkat kepada 519,000 pendengar dan 584,000 pendengar, yang menandakan peningkatan hampir 115,000 (pagi) dan 150,000 (petang).
"Prestasi ini turut dikongsikan jenama, LITE yang menyaksikan peningkatan untuk pendengar mingguannya kepada 937,000 dengan segmen petangnya kini mencecah 432,000 pendengar, selain peningkatan untuk ‘Pendengar Eksklusif’ kepada 108,000 pendengar," jelas kenyataan sama.
Kajian ini dilakukan untuk tempoh enam minggu dengan gabungan diari radio tradisional (75%) dan e-diari (25%) yang diedarkan kepada 6,000 individu di seluruh Semenanjung Malaysia bagi memahami tabiat mendengar mereka.
Sebanyak 20 jenama radio komersial terbabit dalam kajian ini dan Astro Radio memperoleh enam kedudukan dari 10 kedudukan jenama teratas.