Astro akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membendung cetak rompak

Astro Awani
Februari 17, 2021 15:37 MYT
Laila berkata Astro akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dan rakan kandungannya untuk menghantar mesej jelas bahawa cetak rompak kandungan ialah satu kecurian. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pada Selasa, seorang pengarah syarikat didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas enam kesalahan memiliki enam unit kotak media berjenama iBoite-X yang mempunyai aplikasi siaran Astro secara tidak sah.
Tertuduh, Ng Lee Lee, 46 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.
Aktiviti cetak rompak membabitkan karya filem dan muzik tempatan bukan perkara baharu, sebaliknya sudah membelenggu industri seni, sejak sekian lama.
BACA: Pengarah syarikat didenda RM30,000 miliki kotak media iBoite-X secara haram
Menurut Pengarah Kawal-Selia Astro Malaysia Holdings Bhd, Laila Saat, pihak Astro mengalu-alukan tindakan yang diambil terhadap penstriman haram menggunakan kotak media/android dan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dan rakan kandungan untuk menghantar mesej bahawa cetak rompak kandungan ialah suatu perbuatan mencuri kandungan yang salah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Aplikasi Tidak Sah | Pengarah Syarikat dedenda RM30,000
Ramai yang tidak mengetahui kandungan di dalam aplikasi yang dimuat turun melalui kotak media tidak mempunyai kebenaran pemilik hak cipta. Perbuatan cetak rompak ini juga merupakan api dalam sekam bagi sektor kandungan/perfileman tempatan dan ekosistem kreativiti. Yang mana hasil kreativiti dicuri dari setiap individu membabitkan barisan pelakon, penulis, produser, pengarah dan jurukamera yang menjurus kepada kemelesetan pembangunan industri.
Jumlah anggaran kerugian dalam industri hiburan tempatan dan ekonomi melebihi RM3 bilion setiap tahun dan anggaran RM500 juta dari hasil kutipan cukai, termasuk kehilangan ribuan pekerjaan dan ini akan terus meningkat jika tidak dibendung, kata Laila.
Jika perkara ini tidak diberi perhatian, industri hiburan akan terjejas kerana tiada keperluan untuk penggerak industri mencipta atau melabur dalam kandungan-kandungan berkualiti dan original seperti filem, Ola Bola, Premier League atau FIFA World Cup, hanya untuk kandungan berkenaan dicuri, distrim dan dijual secara haram.
Laila turut berkata, filem terbitan Astro seperti KL Gangster 2 mendapat kutipan tinggi di box-office, namun turut terkesan apabila dicetak rompak sebelum ditayangkan di panggung.
“Jangkaan awal menunjukkan KL Gangster 2 mampu meraih kutipan RM15 juta namun di akhir tayangan kutipan hanya RM4.9 juta,” tambahnya.
#Laila Saat #Cetak rompak #KL Gangster 2 #Ola Bola #FIFA World Cup #penstriman haram #undang-undang #ekonomi #filem #hiburan
;