'ASP Jennifer Wong' bawa Elizabeth Tan ke FFM33
Bernama
Disember 5, 2024 13:30 MYT
Disember 5, 2024 13:30 MYT
KUALA LUMPUR: Watak antagonis yang dibawa penyanyi dan pelakon Elizabeth Tan dalam filem Sheriff: Narko Integriti berjaya melayakkan aktres itu sebagai antara lima calon akhir bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33), Sabtu ini.
Menyifatkan pencalonannya itu sebagai hadiah cukup bermakna, Elizabeth atau nama sebenarnya, Tan Su Mei, 30, berkata beliau tidak menjangka watak ASP Jeniffer Wong dalam filem pecah panggung itu berjaya meninggalkan kesan mendalam kepada penonton dan juri FFM33.
"Jujurnya, saya anggap pencalonan ini sebagai tanda industri telah mengiktiraf saya sebagai pelakon yang menjadi impian saya selama ini. Ini kerana ramai lagi yang masih melihat saya sebagai penyanyi dan menganggap lakonan ini sekadar suka-suka," katanya dalam kenyataan.
Bintang filem Abang Long Fadil 3 itu turut menyifatkan pencalonan itu sebagai satu penghormatan besar, apatah lagi bersaing dengan nama-nama besar dalam industri filem seperti Nadiya Nisaa menerusi filem Imaginur, Pauline Tan (Rain Town), Remon Lim (Victim (S)) dan Angeline Tan (Duan Nago Bogho).
"Menang atau kalah saya tidak mahu ambil kisah kerana apa yang lebih penting adalah meraikan kejayaan setiap pemenang," katanya yang melihat setiap calon dalam kategori itu mempunyai kelebihan tersendiri dan turut membuatkan dirinya berasa kerdil untuk berdiri sebaris dengan mereka.
"Semuanya hebat-hebat belaka, dan berada dalam kalangan mereka adalah sesuatu yang saya hargai," tambahnya.
Dalam pada itu, aktres Diana Danielle mencipta sejarah peribadi apabila tersenarai dalam lima terbaik bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik pada FFM33 menerusi filem Imaginur.
"Filem Imaginur sebuah projek yang sangat bermakna bagi diri saya dan tidak hanya menawarkan hiburan, tetapi sarat dengan emosi dan mesej," katanya yang akan berentap dengan Nabila Huda menerusi filem Rahsia, Nadia Aqilah (Eva), Susan Lankaster (Rain Town) dan Chen Keat Yoke (Hungry Ghost Diner).
Sementara itu, Beto Kusyairi, 44, menyifatkan pencalonannya dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik pada FFM33 sebagai hasil kerja keras semua pihak dalam menjayakan filem Imaginur.
"Pencalonan ini bukan sahaja menjadi pengiktirafan, tetapi penyuntik semangat bagi diri sendiri dan seluruh pasukan. Ia memberi saya motivasi untuk terus berkarya, mencari jalan mencipta karya yang bukan sahaja berkualiti tetapi memberi impak kepada penonton," katanya dalam kenyataan.
Beto akan bersaing dengan Zul Ariffin melalui filem Sheriff: Narko Integriti, AsrulFaizal (Duan Nago Bogho), Shaheizy Sam (Polis Evo 3) dan Chew Kin Wah (Rain Town).
Bertemakan "EMAS - Evolusi Sinema Malaysia", malam kemuncak FFM33 yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan sokongan Kementerian Komunikasi itu akan berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Kota Media, Angkasapuri, selain disiarkan secara langsung di TV2 dan YouTube Finas.
-- BERNAMA