AsNTM: 'Saya sangat gembira untuk Maureen' - Shikin Gomez
Kohilah Sekaran
Jun 29, 2017 13:02 MYT
Jun 29, 2017 13:02 MYT
Hasrat model Malaysia, Shikin Gomez, 25, untuk membawa pulang gelaran Asia's Next Top Model (AsNTM) ke tanah air tidak kesampaian selepas peserta Filipina, Maureen Wroblewitz dinobatkan sebagai juara musim kelima ini.
Bersaing di kedudukan tiga teratas, model Malaysia Shikin bagaimanapun tidak pulang kosong berikutan dilantik sebagai duta jenama automobil Subaru untuk rantau Asia dan menjadi wajah untuk kempen Zalora, iaitu hadiah kemenangan selepas mengungguli dua cabaran dalam program popular tersebut.
"Saya sangat gembira untuk Maureen. Dia menunjukkan peningkatan yang sangat bagus sepanjang pertandingan dan selayaknya menang,” kata Shikin dalam satu sidang media.
Maureen yang merupakan kacukan Filipina-Jerman itu meraih gelaran tersebut selepas menewaskan dua pesaingnya, Shikin Gomez dan Minh Tu Nguyen dari Vietnam, dalam episod terakhir yang disiarkan malam tadi.
Maureen memenangi kontrak bersama Storm Model Management dari London, sebuah kereta Subaru Impreza dan peluang untuk menghiasi muka depan dan rencana fesyen dalam majalah Nylon Singapura.
Bagaimanapun, kemenangan wakil Filipina itu mengejutkan para peminat AsNTM.
Hal ini kerana, Maureen tidak mempunyai pengalaman dalam dunia modeling dan sering dilabel sebagai 'wajah cantik tetapi tidak mempunyai bakat'.
REAKSI MEDIA SOSIAL
Menerusi hashtag #ExceptTheUnexpected, pelbagai reaksi melimpahi media sosial.
Netizen dari Filipina melahirkan rasa bangga terhadap kemenangan Maureen, apatah lagi ini merupakan kali pertama negara itu meraih gelaran tersebut.
Malah, ada yang melahirkan rasa tidak puas hati kerana menggangap Shikin atau Minh Tu lebih layak untuk menerima gelaran itu.
Sebelum ini, dua finalis AsNTM, Shikin dan Alicia Amin pernah ditemu bual dalam program gaya hidup AWANI, Style District.