Asia's Next Top Model: Tuti, peserta Malaysia jawab kritikan 'next top neraka'
Nizam Bakeri
Mac 5, 2016 11:40 MYT
Mac 5, 2016 11:40 MYT
Peserta negara dalam Asia’s Next Top Model, Nuraini Noor atau lebih dikenali sebagai Tuti membalas pandangan yang dikemukakan oleh netizen berkenaan penyertaannya dalam rancangan tersebut.
Dalam satu temubual e-mel dengan BBC, Tuti menegaskan dia menghormati pandangan semua dan tidak mampu mengawalnya.
“Yang membezakan kita bukannya warna kulit atau agama, namun peluang,” ujarnya.
Selasa lalu, Tuti dikritik hebat oleh netizen yang menyifatkan penyertaannya tidak sesuai dan melanggar agama bahkan ada yang melabel rancangan tersebut sebagai “next top neraka”.
Gadis berusia 24 tahun itu turut mendedahkan dia tidak pernah berhadapan dengan kontroversi seperti ini ketika menyertai dan memenangi pertandingan model sebelum ini.
“Saya tidak suka melabel apa-apa. Saya cuma warga dunia. Saya seorang gadis yang sedang mengejar cita-cita,” tambah Tuti.
Rancangan Asia's Next Top Model musim keempat akan disiarkan bermula 9 Mac ini jam 9 malam di saluran STAR World (CH711).