Ashira terkejut, menggigil dengar berita Bad Indigo meninggal dunia
Gempak
Oktober 27, 2023 11:39 MYT
Oktober 27, 2023 11:39 MYT
PENYANYI Ashira mengakui benar-benar terkejut dengan berita pemergian bekas suaminya, Bad Indigo semalam.
Ashira ketika dihubungi Gempak berkata, dia menerima perkhabaran tersebut daripada kenalan media.
“Saya sebenarnya tak tahu apa-apa langsung sebab saya dah lost contact lama dah. Macam dia dah ada kehidupan dia kan… tak bermesej apa semua.
“Tadi tahu daripada wartawan lain, tak perasan pula Kak Liza (Liza Hanim) post.
"Saya call Kak Liza, nak tanya sahih ke, Kak Liza sahkan yang arwah meninggal sebab serangan jantung selepas Maghrib tadi (semalam),” katanya.
Menurut Ashira, dia tidak menyangka bahawa bekas suaminya telah pergi memandangkan arwah sering memuat naik video dan kelihatan sihat selama ini.
“Masa dapat tahu tadi terkejut sangat sebab selalu nampak video-video yang dia buat di tempat kerja. Nampak sihat alhamdulillah. Entahlah, saya masih speechless dan menggigil,” katanya lagi.
Ashira turut memberitahu yang dia masih menunggu perkembangan seterusnya daripada rakan-rakan.
Untuk rekod, Ashira dan Bad mendirikan rumah tangga pada 11 Mac 2021 dan mengambil keputusan untuk bercerai pada Jun 2022.
Bad bergelar bapa tunggal sejak 2010 dan dikurniakan dua cahaya mata, Rayyan, 14, dan Rania, 13 manakala Ashira pula berstatus ibu tunggal pada 2015 dan memiliki seorang anak lelaki, Megat Shazril Haziq Hadi, 17. -Gempak