ASA 2024: Astro AWANI ungguli empat kategori

Madiha Abdullah
Oktober 26, 2024 00:58 MYT
Astro AWANI membawa pulang empat anugerah iaitu Liputan Berita TV Terbaik, Grafik TV Terbaik, PSA dan Kapsul TV Terbaik serta Kesan Khas TV Terbaik. - Gambar Astro AWANI
PUTRAJAYA: Astro membawa pulang 11 anugerah pada malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2024 (ASA 2024) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Sabtu.
Antara kejayaan yang dilakar Astro adalah Drama Bersiri TV Terbaik menerusi drama One Cent Thief terbitan Astro Shaw, manakala Astro AWANI pula membawa pulang empat anugerah.
Astro AWANI dinobatkan pemenang kategori Liputan Berita TV Terbaik menerusi Pantau Agenda Reformasi, Grafik TV Terbaik dan PSA dan Kapsul TV Terbaik bagi kempen Enam Negeri Memilih dan Kesan Khas TV Terbaik bagi kempen Malaysia Memilih: Mari Keluar Mengundi.
Sementara itu, Konsert Akhir Big Stage Musim 5 (Astro RIA) dinobatkan pemenang bagi kategori Pengimbangan Muzik Terbaik dan Konsert Akhir All Stars Gegar Vaganza (Astro RIA) pula memenangi kategori Audio Rancangan TV Terbaik.
Zainorhisyam Samudin pula dinobat Pengarah TV Terbaik menerusi drama Lebai Sampan yang disiarkan di Astro Citra.
Dalam pada itu, pengarah dan penerbit, Othman Hafsham, diumumkan sebagai Tokoh Seri Angkasa pada malam kemuncak ASA 2024 sekali gus membawa pulang trofi, wang tunai RM10,000, barangan kemas Habib bernilai 30,000 dan sebuah kereta Proton S70.
Bagi kategori utama lain, telefilem Bahalol (TV Okey) dinobatkan pemenang Anugerah Drama TV Terbaik dan membawa pulang hadiah berupa trofi, wang tunai RM5,000 dan insentif dana kandungan kreatif RM200,000.
Dua teraju utama telefilem tersebut, Sobri Anuar dan Liza Othman, memenangi kategori Pelakon TV Lelaki Terbaik dan Pelakon TV Wanita Terbaik.
Seniwati Datuk Fauziah Nawi dan Beto Kusyairy pula masing-masing mengungguli kategori Pelakon Drama Radio Terbaik dan Pelakon Pembantu Drama Radio Terbaik.
Sebanyak 34 kategori anugerah disampaikan pada acara malam kemuncak ASA anjuran Kementerian Komunikasi, yang merupakan medium pengiktirafan kepada penggiat industri kreatif penyiaran, mempromosi karya-karya kreatif dan memperkukuh komuniti kreatif negara sekali gus melonjakkan potensi ekonomi jingga.
Hadiah disampaikan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
#Astro Awani #All Stars Gegar Vaganza #Anugerah Seri Angkasa #malam kemuncak
;