Arwah Mahadzir pernah berhentikan berita lebih awal kerana tergelak
Sinar Harian
Ogos 5, 2018 17:18 MYT
Ogos 5, 2018 17:18 MYT
PERSONALITI TV Ras Adiba Radzi memberitahu pernah melalui pengalaman manis bersama Allahyarham Datuk Mahadzir Lokman apabila mereka terpaksa memberhentikan berita 10 minit lebih awal kerana tidak dapat menahan ketawa.
Ras Adiba, 50, berkata, disebabkan perkara itu, arwah menerima notis amaran kerana beliau merupakan pembaca berita senior.
"Saya kenal dia sejak tahun 1986 ketika mula bekerja di bilik berita. Ada satu kenangan lucu apabila kami terpaksa memberhentikan berita awal 10 minit kerana masing-masing tidak tahan gelak.
"Akibat perkara itu abang mendapat memo daripada pihak atasan. Saya tidak dapat sebab masa itu kerana saya masih baru. Saya percaya, dialah yang menyelamatkan saya ketika itu,” ujarnya kepada wartawan.
Ras Adiba ditemui ketika hadir menziarahi pengebumian Allahyarham Mahadzir di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pagi Sabtu.
Bekas pengacara stesen TV swasta itu meninggal dunia pada awal pagi Jumaat.
Beliau yang berusia 61 tahun dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di sebuah hotel di Tanjung Aru, Sabah kira-kira jam 6 pagi selepas menunaikan solat Subuh.
Jenazah sebelum itu dibawa ke Masjid Kolej Islam Malaya (UIA), Petaling Jaya jam 9.30 pagi Sabtu dari kediamannya di Seksyen 16, Petaling Jaya untuk solat jenazah.
Jenazah tiba di kediamannya itu jam 4.30 pagi menerusi penerbangan MAS yang berlepas 11.05 malam Jumaat.
Tambah Ras Adiba, beliau menyifatkan arwah seorang abang dan guru yang banyak mengajarnya dalam bidang penyiaran.
"Kali terakhir dia ucapkan selamat hari jadi kepada saya pada 27 Julai lalu dan dia pesan agar saya terus kuat menjalani kehidupan,” ujarnya.
Sementara itu, penyanyi Amy Search menyifatkan Allahyarham sebagai seorang rakan yang suka mengusik dan pandai berjenaka.
BACA: Syurga di tapak kaki ibu: Hajat Mahadzir Lokman sebelum bertemu Ilahi
Katanya, beliau juga tidak pernah berubah sejak pertama kali mengenalinya ketika dia baharu menceburkan diri dalam dunia muzik.
"Kami kenal sangat lama ketika baru bergelar artis, masa itu dia sudah hulurkan salam perkenalan dan memberitahu dia suka dengan nyanyian saya.
"Daripada situ hubungan kami baik sampailah sekarang. Walaupun dia tidak sihat tapi dia masih mahu bergurau dan melayan kita dengan baik," ujarnya.
Amy juga berkata, kali terakhir Allahyarham mahu bergambar kenang-kenangan pada Hari Raya Aidilfitri lalu.
#Amy Search
#Bukit Kiara
#jenazah
#Mahadzir Lokman
#Malaysia Airlines
#MAS
#pembaca berita
#Ras Adiba Radzi
#Tanjung Aru
#UIA