Arwah Lok-U rindu anak perempuan, hitung hari jemput di asrama
Farhana Joni
Januari 22, 2020 16:14 MYT
Januari 22, 2020 16:14 MYT
Baru tiga hari berpisah dengan anak bongsunya yang duduk di asrama, namun kerinduan Allahyarham Lok-U pada Yasmin Damia sukar dibendung.
Menurut isteri Allahyarham Lok-U, Jamariah Yusof, hampir setiap hari suaminya meluahkan rasa rindu pada anak perempuan tunggal mereka yang berusia 13 tahun itu.
Kata Jamariah, Yasmin Damia memulakan persekolahan Sekolah Agama Menengah Bestari di USJ5 sejak Isnin lalu.
“Yasmin baru daftar masuk ke sekolah itu Isnin lalu tetapi arwah asyik mengira hari untuk menjemputnya.
“Sepatutnya lagi dua hari (Jumaat) kami akan ke Sekolah Agama Menengah Bestari di USJ5 untuk berjumpa dengan Yasmin tapi hari ini, anak pula yang ambil ayah dia,” katanya kepada Astro Awani ketika ditemui di Hospital Serdang, di sini pada Rabu.
Jamariah turut berkongsi cerita bagaimana arwah suaminya itu sering memberitahu perasaan berpisah dengan anak lelaki dan anak perempuan sangat berbeza.
“Arwah cakap rindu dengan anak perempuan sampai tak lena tidur, sebab mereka berdua rapat.
“Lagipun, Yasmin satu-satunya anak perempuan kami dan bongsu pula, itu yang terasa sikit bila berjauhan,” kata Jamariah yang tabah dan redha menerima berita pemergian suami tercinta.
Selain Yasmin Damia, Allahyarham Lok-U juga mempunyai tiga orang anak lelaki iaitu Adam Danial, Faris Danial dan Ahmad Firhan Danial.
Allahyarham Lok-U atau nama sebenarnya, Faizal Uzir menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 10 pagi ini pada usia 46 tahun.
Lok-U dikatakan mengalami sesak nafas di kediamannya di Puncak Jalil, di sini sebaik pulang dari berjogging.
Jenazah Allahyarham Lok-U kini berada di Hospital Serdang untuk proses bedah siasat.
Sebaik proses bedah siasat, jenazah Allahyarham Lok-U akan dibawa ke Surau Al-Falah, Puncak Jalil, di sini untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya
sebelum solat Maghrib hari ini.
Lok-U merupakan antara pemuzik yang disegani dalam kalangan penggiat muzik tanah air dan Allahyarham sering diberi tanggungjawab mengetuai kumpulan pemuzik iringan dalam pelbagai program realiti di pelbagai stesen televisyen.
#anak-anak Lok-U
#Faizal Uzir
#isteri
#Jamariah Yusof
#Lok-U
#meninggal dunia
#pemuzik
#Yasmin Damia