Bagi menghargai jasa para seniman dan seniwati tanah air, Yayasan Artis Satu Malaysia, (YA1M) mengadakan majlis penyampaian sumbangan wang ehsan kepada artis veteran.

Seramai 130 bintang menerima bantuan wang tunai berjumlah RM2,000 setiap seorang.

Menurut Presiden YA1M, Datuk Irwan Shah Abdullah atau DJ Dave, bantuan ini penting bagi meringankan beban sekaligus memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina di kalangan artis veteran.

“Tidak semestinya apabila mencapai usia 60 baru akan menghadapi penyakit, dengan wang bantuan ini mungkin mereka boleh gunakan untuk pembiyaan perubatan berikutan usia yang semakin lanjut,” kata Dave.

Sumbangan kali ini sebagai susulan kepada pemberian sumbangan yang diadakan pada awal Januari lalu.

Wang turut diagihkan menerusi peruntukan sebanyak RM5 juta yang diluluskan Perdana Menteri untuk YA1M.

Menurut artis veteran kelahiran Perak, Fauzian Nawi, inisiatif yang dilakukan oleh yayasan mampu mengangkat kembali kehidupan artis yang pernah tersisih dan terabai.

“Saya rasa sangat berterima kasih dan bersyukur atas sumbangan yang disalurkan menerusi YA1M sekaligus merasakan bahawa nasib kami sebagai artis veteran terbela,” kata Fauziah.

Antara artis lain yang terpilih termasuk Datuk Jamil Sulong, Datuk Ahmad Nawab, Datuk David Arumugam, Lai Meng dan Aspalela Abdullah.