Artis popular tidak lupa suarakan harapan pilihan raya Indonesia
Fuad Misbah
Julai 9, 2014 10:51 MYT
Julai 9, 2014 10:51 MYT
Pemilihan Presiden (PILPRES) Pemilihan Umum Indonesia (PEMILU) 2014 bakal mencorak apa yang diwar-warkan sebagai Indonesia baru mengikut siapa yang dipilih menerajui tampuk kepimpinan negara yang pernah dikenali sebagai Harimau Asia itu.
Hari ini seluruh warganya akan bersama-sama mengundi calon presiden pilihan mereka melalui PILPRES, kemuncak kepada Pemilihan Legislatif pada April lalu.
Calon Presiden yang perlu dipilih ialah diantara gandingan Joko Widodo atau Jokowi dan Jusuf Kalla atau Prabowo Subianto dan Hatta Rajasa.
Sejarah bakal tercatat dengan pelbagai corak harapan daripada seluruh warganya untuk melihat mereka bangkit dan menjadi Indonesia baru.
Tidak ketinggalan juga ketika ditemuramah secara eksklusif oleh Astro AWANI, para seniman Indonesia turut bangkit dan berharap Indonesia yang baru menjadi realiti.
Indonesia Baru
Bagi pemain keyboard kumpulan Element, Fajar Putra, apa yang penting untuk Indonesia baru di zaman serba canggih ini adalah jati diri yang kuat dan lebih percaya kepada diri untuk berdiri bersama seluruh dunia.
"Dunia semakin kecil dengan adanya teknologi dan harus mempunyai jati diri. Indonesia yang yakin di mata dunia," ujar Fajar.
Lain pula bagi band anak muda, Kangen yang percaya bahawa Indonesia baru ialah Indonesia yang lebih prihatin terhadap semua rakyatnya, yang berkorban demi rakyatnya, yang tegas dan hebat.
Kangen band. -foto AWANI/FUAD MISBAH
"Bagi kami, Indonesia yang baru adalah Indonesia yang memikirkan rakyat kecilnya, yang bebas daripada rasuah, tidak mementingkan perut sendiri, tegas dan Indonesia yang hebat," kata mereka dengan penuh semangat.
Keterbukaan pula disimpulkan oleh band gergasi negara itu, Nidji apabila ditanya tentang Indonesia baru.
"Indonesia baru bagi kami adalah Indonesia yang berada di tahap yang tinggi. Keterbukaan maklumat. Yang menerima pengaruh media sosial. Yang paling penting, Indonesia yang memilih berdasarkan maklumat yang dibaca dan diamati dan bukan secara membabi-buta," tegas Rama.
Harapan untuk pilihan raya presiden
Menurut penyanyi muda, Shae, harapannya untuk pilihan raya presiden kali ini adalah lahirnya seorang pemimpin yang mampu untuk membuktikan kepada seluruh Indonesia bahawa dia serius serta sayang dan tanggungjawabnya kepada Indonesia dapat dirasai semua.
"Kita perlu seorang pemimpin. Saya berharap, siapa pun yang akan menjadi presiden kelak dia akan membuktikan kepada rakyat bahawa dia serius dan dia cintakan negaranya sendiri. Kita juga perlukan seorang yang bertanggungjawab atas kata-katanya," luah Shae.
Shae. - foto AWANI/FUAD MISBAH
Secara peribadi, penyanyi yang popular dengan lagu Sayang itu berkata setiap orang akan meletakkan harapan yang tinggi dan akan menilai seorang pemimpin bukan dari kata-kata yang dia lemparkan, tetapi bukti yang ditunjukkan kelak.
"Harapan yang tinggi itu selalu ada tapi saya adalah seorang yang perlukan bukti, dan bukan hanya dengan kata-kata.
Bagi saya, rakyat Indonesia juga memerlukan yang sama. Bukan hanya kata-kata, tapi bukti bahawa masih ada pemimpin yang sayang dengan kita, peduli dengan kita semua," tambah Shae.
Begitu juga dengan harapan yang diluahkan oleh pelakon, Ardina Rasti.
Sebagai duta anti penderaan terhadap wanita di Indonesia, dia mengimpikan pemimpin yang membela nasib para wanita di Indonesia daripada menjadi mangsa penderaan. Dia turut berharap agar akan diwujudkan undang-undang bagi membela nasib mangsa-mangsa keganasan rumah tangga terutama wanita.
"Saya berharap nasib para wanita dibela dan undang-undang diwujudkan serta diketatkan demi mereka yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga di muka pengadilan," ujar Ardina.
Ardina juga berharap agar bakal presiden yang terpilih mengembangkan sumber daya manusia di Indonesia dan berusaha memajukan negara dan rakyat Indonesia terlebih dahulu sebelum bersaing dengan negara-negara lain.
Hal yang sama juga turut dinyatakan oleh semua ahli Kangen Band agar pemerintah yang terpilih kelak memantau perkembangan generasi muda di Indonesia dan juga mengembangkan prestasi yang ada pada generasi tersebut.
"Kami inginkan presiden yang memantau perkembangan anak-anak muda, yang mengembangkan prestasi generasi muda," kata semua ahli kumpulan Kangen Band.
Kumpulan muzik Element berharap agar pemilihan berlangsung dengan aman dan tenteram dan Indonesia melahirkan pemimpin sejati yang yang mampu mewakili suara rakyat serta menunaikan semua janji.
"Kami berdoa Indonesia akan kekal aman dan tenteram hari ini dan akhirnya terpilih seorang wakil yang mampu untuk mewakili suara rakyat yang sejati yang bukan hanya mampu mengaplikasikan suara rakyatnya, tetapi semua yang diusahakannya nanti memenuhi keinginan rakyat," ujar pemain bass kumpulan Element, Arya Adhi Prasetya.
Harapan kepada bakal presiden sebagai penggiat seni
Band baru Astoria mengimpikan agar pemimpin yang terpilih mampu menyokong para seniman kerana sokongan sebelum ini dilihat belum efektif.
Astoria. -foto AWANI/FUAD MISBAH
"Sokongan pemerintah lalu dan sekarang itu ada, tapi suara kami kurang didengari. Kami berharap sokongannya untuk masa hadapan akan lebih baik dan kami lebih dipedulikan," kata pemain bass, Gerry.
Setelah 12 tahun berkecimpung di dalam dunia hiburan, Nidji merasakan bahawa industri muzik dan hiburan bukan industri yang diutamakan oleh pemerintah lalu mahupun sekarang.
Justeru itu, mereka berharap untuk diberi kesempatan bagi mendapatkan lebih sokongan dan usaha memajukan industri itu oleh pemerintah baru.
Kumpulan Nidji bersama penulis (empat, kiri) di belakang pentas sebuah persembahan selepas ditemubual. -foto AWANI/FUAD MISBAH
"Kami merasakan sokongan yang diberi sangat sedikit. Mungkin kerana industri ini tidak begitu penting bagi mereka," tambah vokalisnya, Giring.
Band D'Masiv dan Kotak turut meluahkan pendapat yang sama dengan menyifatkannya sebagai acuh tidak acuh.
"Kami berharap agar bakal presiden kali ini akan lebih peduli dengan nasib seniman-seniman di Indonesia," tambah kumpulan yang popular dengan lagu 'Cinta Ini Membunuhku' itu.
D'Masiv. -foto AWANI/FUAD MISBAH
"Satu saja harapan kami. Untuk industri muzik dan seniman dihargai. Baik dari segi pembanterasan cetak rompak hingga cuba untuk memahami nasib kami para seniman di Indonesia ini," kata vokalis Kotak, Tantri.
Apa sahaja keputusan pemilihan kali ini, rata-rata mereka berharap agar kepimpinan negara Garuda Merah Putih ini mampu menjadikan Indonesia lebih hebat, maju dan aman.