Artis pandai buat lagu lebih berbakat? Ini komen Habsah Hassan...

Madiha Abdullah
April 18, 2023 10:00 MYT
Kata Habsah, meletakkan penilaian bagi seorang artis atau hasil seni harus melihat pada pelbagai aspek.
PETALING JAYA: Menentukan bakat dan kebolehan seorang artis itu tidak semudah yang disangka, apatah lagi mengukur tahap kejayaannya.
Penulis lirik prolifik, Datuk Habsah Hassan berpendapat, seni adalah bidang yang luas dan memerlukan pembabitan ramai, justeru meletakkan penilaian bagi seorang artis atau hasil seni juga harus melihat pada pelbagai aspek.
"Bidang seni ini, untuk menentukan di mana kita berada, ia harus melibatkan ramai orang. Mungkin seorang artis itu boleh menyanyi, berlakon, tulis lagu dan sebagainya.
"Tetapi akhirnya kita kena lihat, bagaimana penerimaan orang ramai terhadap hasil karyanya?
"Sebagus mana atau setinggi mana pun bakat seseorang artis, dia masih memerlukan pendapat orang lain. Kena berfikiran terbuka kerana seni itu dihasilkan untuk dinikmati orang ramai," katanya ketika ditemui Astro AWANI di pejabatnya baru-baru ini.
Beliau mengulas 'pergaduhan' di media sosial membabitkan kumpulan peminat beberapa artis, antaranya termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Yuna dan Aina Abdul.
Ia bermula apabila seorang pengguna media sosial memuat naik pendapatnya di Twitter dengan mengatakan Yuna lebih berbakat daripada Siti Nurhaliza, atas alasan Yuna mampu menghasilkan lagu sendiri.
"Yuna memang seorang yang berbakat dalam penghasilan lagu. Beliau mempunyai niche market sendiri, tetapi bagaimana kita nak ukur kejayaan beliau berbanding Siti Nurhaliza?
"Tak mungkin ada seorang individu dalam dunia ini yang menguasai semua perkara kerana setiap orang ada kepakaran dan bidangnya.
"Jadi untuk membandingkan kualiti seseorang artis hanya berdasarkan bakat dan apa yang dia boleh buat, tidak bolehlah.
"Kejayaan seseorang artis itu ditentukan oleh bukan sahaja bakat, tetapi juga penerimaan orang ramai, kesungguhan artis itu sendiri dan dibantu juga faktor nasib atau rezeki," jelasnya yang sudah menghasilkan lebih 1,000 lirik lagu nyanyian deretan artis popular tanah air.
Menamakan Aina dan Naim Daniel sebagai antara penyanyi yang mempunyai kebolehan baik dalam penciptaan lagu dan lirik, beliau bagaimanapun menasihati artis angkatan baharu agar tidak mudah hanyut dengan populariti.
Ini kerana mengekalkan populariti dan konsistensi terbukti sangat sukar dilakukan.
"Semasa saya mempengerusikan MACP (Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia), ada sebuah kumpulan yang kutipan royaltinya sangat tinggi pada satu tahun. Malah Datuk M. Nasir juga ditewaskan mereka.
"Tetapi tahun itu sahaja. Selepas itu mereka hilang kerana lagu-lagu mereka sudah tidak diputarkan lagi. Sedangkan M. Nasir, sudah bertahun pun masih dapat royalti tinggi.
"Berapa ramai artis kita yang muncul sejak 10 tahun lepas, naik sekejap, kemudian hilang. Sayang, kerana mereka ada bakat.
"Sebagai orang yang berkarya, jangan sasarkan lagu kita untuk 'hidup' setahun dua sahaja. Jangan cepat perasan hanya kerana kita ada berjuta peminat di media sosial, kerana yang ramai itu mungkin hanya suka kita untuk beberapa tahun sahaja," nasihat beliau lagi.
#pencipta lagu #penyanyi #komposer #habsah hassan
;