"Artis Malaysia sepatutnya boleh jadi jutawan, tapi..." - Ziana Zain
Madiha Abdullah
Februari 25, 2021 12:04 MYT
Februari 25, 2021 12:04 MYT
KUALA LUMPUR: Penggiat seni di Malaysia sepatutnya boleh menjalani hidup dengan selesa, malah ramai juga yang mampu bergelar jutawan.
Namun perkara itu tidak terjadi kerana hak dan kebajikan mereka tidak dijaga seperti sepatutnya.
Itu luahan bintang terkenal, Ziana Zain, yang nyata kesal dengan isu cetak rompak yang masih belum nampak penghujungnya.
Lebih menjadikan situasi semakin buruk adalah cetak rompak di era teknologi digital dilihat seperti perkara biasa, khususnya apabila hasil karya kini diperdagangkan secara dalam talian.
"Kalau nak diikutkan, kami artis di Malaysia, kaya sebenarnya, malah boleh jadi jutawan, jika dinilai kepada hasil karya.
"Tetapi disebabkan cetak rompak, kami tak dapat apa yang sepatutnya. Tetapi, badan-badan yang mengutip duit, mereka lebih kaya sekarang.
"Kami yang penat menyanyi, berpuluh album tapi akhirnya mereka yang kaya. Padahal, mereka tak ada hasilkan apa-apa pun.
"Pembahagian keuntungan langsung tidak seimbang. Tiba-tiba mereka dapat pula beli bangunan RM14 juta, contohnya. Yang urus bahagian royalti kami, gajinya RM15,000 sebulan.
"Tetapi kami para artis, dapatlah RM500 atau RM600. Adilkah?" katanya ketika ditemubual Astro AWANI.
Ziana yang menyambut ulang tahun ke-30 pembabitan dalam industri seni mengakui, sudah penat bercakap tentang isu cetak rompak kerana sehingga kini, tiada siapa yang mahu tampil membantu memberi jalan penyelesaian.
"Sepatutnya ada satu pihak penguatkuasa yang menjaga isu hak cipta dan boleh terus bertindak apabila berlakunya pelanggaran undang-undang.
"Contohnya di internet, kenakan sekatan. Apabila anda nak download lagu, kena bayar dulu. Tak kisah sumber dari mana tapi kalau nak dengar dan download, ada satu jumlah perlu dibayar.
"Tak ada cara untuk orang ramai bebas dapatkan hasil karya percuma, curilah cara mana pun dia akan ditangkap.
"Internet ni bukan bidang saya, jadi saya nak bercakap pun susah. Tetapi saya harap ada pihak atau badan yang pakar, membantu kami.
"Saya kesal kerana tidak ada siapa yang mahu bertindak. Pada mereka, hasil karya dan lagu itu macam tak ada nilai, sedangkan itulah duit kami.
"Benar, penyanyi dan artis itu hak masyarakat, tetapi tidak bermakna orang bebas buat apa sahaja," tegas penyanyi lagu Madah Berhelah dan Puncak Kasih itu lagi.
** Astro AWANI kini dalam usaha membantu industri seni tanah air membanteras cetak rompak menerusi kempen #NoToLanun. Berikan pandangan anda menggunakan tanda pagar #NoToLanun & #StopPiracyLah jika anda ingin bersama-sama membantu menyelamatkan industri seni tempatan.
#Cetak rompak
#undang-undang
#Internet
#artis
#penggiat seni
#Lagu
#teknologi digital
#NoToLanun
#StopPiracyLah