Artis dangdut Dewi Persik kurung diri dalam bilik elak ke penjara

Fuad Misbah
Februari 13, 2014 07:22 MYT
Dewi Persik - Foto Facebook
Bintang dangdut seksi Indonesia, Dewi Persik dilaporkan telah mengunci dirinya di dalam bilik pada Khamis bagi mengelak daripada dibawa ke penjara untuk menjalani hukuman penjara tiga bulan.
Menurut laporan portal Jakarta Globe, keluarganya memberikan alasan bahawa Dewi atau lebih dikenali sebagai Depe ketika itu sedang sakit dan meminta pegawai berkenaan untuk kembali pada keesokan hari bagi membawa Depe ke penjara.
Depe bagaimanapun dilaporkan telah memuatnaik satu status di Twitternya dan meminta agar media tidak mensensasikan keengganannya untuk ditahan dan menyatakan dia sebenarnya sedang bersiap dan bukan mahu melarikan diri.
Hukuman penjara tiga bulan dikenakan ke atas Depe ekoran insiden pergaduhannya dengan Julia Perez yang telah dirakam dan dimuatnaik di YouTube.
Insiden tersebut tercetus ketika mereka berdua sedang berlakon di dalam satu babak yang sama, namun berlanjutan menjadi satu pertengkaran ketika kamera masih merakamkan babak sebenar filem berjudul ‘Arwah Goyang Karawang’ itu.
Julia Perez turut dikenakan hukuman yang sama dan telah selesai menjalani hukuman tersebut baru-baru ini.
Pihak pendakwaan bagaimanapun dilaporkan enggan menerima alasan ‘tidak sihat’ yang diberikan keluarga Depe.
“Dewi tidak sihat, kata mereka, tapi kami tetap akan tunggu,” ujar peguamcara, Ibnu Suud.
Dia turut menjelaskan bahawa alasan tersebut merupakan alasan biasa yang diberikan oleh mereka yang enggan ke penjara termasuk segelintir ahli politik dan selebriti.
Depe kemudian menyerah diri untuk dibawa ke penjara pada malam Khamis.
Dewi Persik pernah membuat persembahan di Malaysia pada 2011 bagi menjayakan Konsert Fiesta Indonesia.
#artis dangdut #Dewi Persik #Jakarta Globe #Julia Perez
;