'Artis antivaksin tariklah diri sendiri, jangan susahkan orang lain' - Rosyam Nor

Gempak
September 10, 2021 15:15 MYT
Menuut Rosyam, kesedaran itu perlu wujud daripada diri individu agar tidak merisikokan pihak lain kesan daripada kedegilan sendiri. - Gambar fail
PELAKON prolifik Datuk Rosyam Nor menggesa artis yang belum mendapatkan suntikan lengkap vaksin mahupun golongan antivaksin agar menolak tawaran berlakon.
Kata Rosyam, kesedaran itu perlu wujud daripada diri individu agar tidak merisikokan pihak lain kesan daripada kedegilan sendiri.
"Seluruh rakyat berdepan masalah kehidupan dan ekonomi sepanjang pandemik, jadi apabila peluang dibuka diharapkan patuhlah.
"Kalau seseorang pelakon itu antivaksin atau belum lengkap vaksin, sepatutnya mereka sendirilah yang ambil keputusan untuk menolak atau menarik diri sekiranya ditawarkan berlakon," ujarnya.
Rosyam ditemui pada sidang media maya pelancaran wajah baharu TV9 pada Khamis.
Dalam pada itu, tegas Rosyam lagi, pelakon atau artis sedemikian yang perlu sedar diri agar tidak menyusahkan pihak lain yang ingin mencari pendapatan apabila sektor industri kreatif baru mula bernafas.
"Semua orang nak bekerja kalau dia rasa tak nak vaksin, kita tak marah pun tapi jangan menyusahkan orang lain yang nak bekerja," tambahnya.
Kelmarin, pelakon veteran Fauziah Nawi menyatakan kekesalan terhadap sikap degil dan mementingkan diri sendiri segelintir produser yang mengambil pelakon anti vaksin untuk berlakon.
Hal itu berkemungkinan merisikokan industri seni sekiranya kebenaran untuk berkerja ditarik balik.
Perdana Menteri menerusi sebuah kenyataan pada Selasa memaklumkan semua penggiat industri kreatif yang lengkap dua dos vaksin dibenarkan untuk kembali bergiat di negeri yang berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai 9 September 2021.
#Rosyam Nor #industri kreatif #Fauziah Nawi #antivaksin
;