Apple teruskan pembangunan cermin mata pintar dan Apple Vision lebih mampu milik

Amanz
Ogos 12, 2024 05:10 MYT
Laporan meramalkan Apple Vision mampu milik akan dilancarkan pada awal tahun 2025. -Gambar fail/Amanz
APPLE masih belum mengaku kalah untuk membangunkan set kepala Apple Vision yang lebih mampu milik.
Menurut laporan Bloomberg, pembangunan Apple Vision pada harga yang tidak memerlukan ginjal dilelong dan cermin mata pintar seakan Ray-Ban Meta turut sedang dilakukan dengan rancak.
Laporan meramalkan Apple Vision mampu milik akan dilancarkan pada awal tahun 2025.
Tiada sasaran harga diletakkan tetapi pastinya lebih murah berbanding Vision Pro yang harganya melangkaui RM16,000 sepasang.
Pembangunan Vision Pro versi kedua juga sedang dilakukan tetapi ia bukan tumpuan utama pada ketika ini.
Seterusnya, cermin mata pintar tanpa skrin juga akan dibangunkan dengan ciri mirip Ray-Ban Meta.
Ini dilihat sebagai langkah pertama sebelum sebuah cermin mata pintar realiti terimbuh sebenar akan dikeluarkan di masa hadapan.
Meta mendominasi pasaran cermi mata pintar di Amerika Syarikat pada ketika ini kerana ia dilengkapi kamera dan boleh memahami konteks apa yang dilihat menggunakan pembantu maya yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan Meta AI. -Amanz
#set kepala #Apple Vision #mampu milik #cermin mata pintar