'Apalah ertinya khabar gembira atau Basyirah, jika masih ada...' - Siti Nurhaliza mohon hormat hak cipta lagu

Najmi Syahiran Mamat
Mei 8, 2020 11:53 MYT
Siti Nurhaliza mengumumkan status lagu baharu berjudul Basyirah itu, kini boleh didapati di semua pelantar digital. - Gambar Universal Music Malaysia
Belum sampai 24 jam single terbaharu Datuk Seri Siti Nurhaliza dimuat naik ke semua pelantar digital, ada pula berita yang kurang sedap di dengar daripada penyanyi nombor satu negara itu.
Nampaknya lagu hasil ciptaan gandingan penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun bersama penulis liriknya, Ahmad Fedtri Yahya ini menerima nasib yang sama seperti lagu 7 Nasihat sebelum ini.
Menerusi perkongsian status Siti Nurhaliza di Instagram, beliau mengumumkan status lagu baharu berjudul Basyirah itu, kini boleh didapati di semua pelantar digital.
Siti Nurhaliza, bagaimanapun, memaklumkan kekecewaannya terhadap sikap beberapa individu yang tidak bertanggungjawab didapati cuba mengambil kesempatan dengan memuat naik lagu tersebut di laman YouTube peribadi mereka.
“Apalah ertinya khabar gembira atau Basyirah, jika masih ada dalam kalangan kita merasakan sesebuah karya itu boleh dirampas, dijadikan hak kepentingan diri, diperkotak-katikkan hak ciptaan.
“Kita tidak akan menang atau menjadi nombor satu dengan sifat rakus memuat naik dan menyebarkan lagu yang tidak sampai sejam pun dilancarkan dengan cara ilegal,” tulisnya.
Dalam pada itu, menerusi kenyataan media dibuat pada Jumaat, beliau berkata selain tertarik dengan melodinya yang mempunyai unsur Timur Tengah, beliau berhasrat untuk menjadikannya sebagai single sempena bulan Ramadan ini.
Jelasnya, lagu tersebut merupakan satu metafora terhadap situasi yang dialami dunia hari ini yang sedang berdepan dengan penularan wabak COVID-19.
"Lagu ini juga menterjemahkan sebuah harapan bahawa satu hari nanti akan ada khabar gembira buat Malaysia untuk segera terhindar dari pandemik ini.
"Siti juga mengharapkan Basyirah mampu memberikan semangat kepada seluruh warga dunia yang menghadapi wabak dan juga petugas barisan hadapan yang berkorban sepenuh jiwa menjaga keselamatan negara," jelasnya.
Sementara itu, Pengurus Promosi Bahagian Domestik Universal Music, Anne Mukhtar memaklumkan lirik video Basyirah akan ditayangkan di laman YouTube rasmi penyanyi itu pada hari ini, Jumaat pukul 3 petang.
"Pada sebelah malam pula, Datuk Siti akan muncul dalam siaran langsung di Instagramnya bersama Hafiz Hamidun dan Ahmad Fedtri Yahya pada pukul 9 malam. Selain itu, beliau juga akan melancarkan #7nasihatchallenge di Tik Tok pada 11 Mei ini.
"Sempena pelancaran lagu ini di Joox pada 15 Mei ini, beliau turut mengundang peminat untuk berkaroke dengannya di Joox Karaoke," katanya.
Bagi anda yang ingin mendengarkan lagu terbaharu daripada buah hati rakyat Malaysia ini, anda sudah boleh mendengarnya di Spotify, Joox, dan Apple iTunes.
#Apple #Basyirah #COVID19 #Datuk Siti #Fedtri Yahya #Hafiz Hamidun #Joox #Khabar gembira #Ramadan #single baharu #Siti Nurhaliza #Spotify
;