Apabila Will Smith buat terjunan bungee di Grand Canyon
Agensi
September 28, 2018 08:00 MYT
September 28, 2018 08:00 MYT
AKTOR popular Hollywood, Will Smith pastinya tidak akan melupakan keseronokan yang bersulam rasa cemas apabila melakukan aktiviti terjunan bungee di antara jurang ngarai Grand Canyon pada Selasa lalu.
Aktiviti ekstrem itu dilakukan untuk meraikan ulang tahun hari kelahirannya yang ke-50 tahun selain bertujuan mengumpul dana bagi kempen pendidikan global.
Bintang filem Men In Black itu membuat lompatan dari sebuah helikopter dan menjunam di antara cerun curam di Grand Canyon, Arizona, yang turut disiarkan menerusi penstriman langsung di paltform YouTube.
"Ini sangat menakjubkan dan indah," ujar Smith ketika dia dalam keadaan tergantung dari kakinya di penghujung tali khas bungee tersebut.
Selepas kembali mendarat dengan selamat di atas tanah, aktor itu itu merumuskan pengalaman itu sebagai mengujakan.
"Tiada apa yang lebih menakutkan. Ia mencampurkan perasaan ketakutan melampau dengan kepuasan terhebat yang anda boleh rasai," tambahnya.
Smith terlibat dalam usaha mengumpul dana bagi organisasi kebajikan Education Cannot Wait, yang bertujuan memberikan akses pendidikan kepada kanak-kanak di seluruh dunia ketika berlakunya konflik, krisis dan bencana alam.