Apabila tiga 'ratu' turut larut dalam emosi Misha
Saharudin Musthafa
Ogos 6, 2019 19:24 MYT
Ogos 6, 2019 19:24 MYT
BUKAN sehari dua, bukan juga setahun dua, tetapi 17 tahun masa diambil oleh Misha Omar untuk berkongsi rasa dalam sebuah pementasan di venue berprestij, Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC pada Isnin malam.
Penantian hampir dua dekad dibayar Misha dengan sebuah pementasan elegan sebagaimana anggunnya imej dan reputasi yang dibinanya selama ini.
Terima kasih pada perjalanan seni 17 tahun yang mengajarnya bukan mudah menjadi artis.
Dari hari pertama melangkah kaki memilih untuk menjadi penyanyi sepenuh masa, Misha atau nama sebenarnya Samiha Omar tidak menoleh ke belakang lagi.
Menyedari persaingan diterima sangat sengit, namun iltizam untuk memahat nama sebagai seorang penghibur menjadi azimat buat dia.
"Lama saya tunggu saat ini, 17 tahun. Anda semua yang hadir di sini (DFP) memberikan saya semangat dan keyakinan yang luar biasa," kata Misha merumuskan kehadiran 900 peminatnya di DFP sebagai satu vitamin untuk dia lebih ghairah melakar pencapaian baharu dalam bidang nyanyian.
Pementasan This Is Misha juga merumuskan keberuntungan penyanyi itu mendapat sokongan peminat-peminat setianya.
Sekalipun durasi konsert sekadar 80 minit, namun ruang dan kesempatan itu digunakan sebaik mungkin oleh Misha untuk menghargai kelompok peminat yang menjadi tulang belakang kejayaannya dalam gelanggang seni.
Menonton pementasan This Is Misha juga memberi tafsiran kepada penonton bahawa penghibur berusia 37 tahun itu harus diberi peluang yang lebih besar pada masa depan.
Keinginan itu turut disuarakan penyanyi Bunga-Bunga Cinta itu ketika berkomunikasi dengan penonton.
"Apakah mungkin saya adakan konsert dalam skala yang besar?" tanya Misha memancing minat penonton yang menyahutnya dengan jeritan sokongan.
Pada malam istimewa itu juga, Misha mengajak pencinta-pencintanya untuk bersama-sama meraikan kerjaya seninya.
Kecintaan dan kasih sayang Misha pada bidang nyanyian diadun dengan vokalnya yang semakin padu selain skil komunikasi yang semakin matang.
Daripada 900 penonton yang hadir, terselit juga penghibur ternama tanah air, Datuk Sheila Majid, Ziana Zain dan Amelina.
Kehadiran Ratu Jazz, Ratu Pop dan Ratu Dangdut (gelaran yang diberikan media) pada malam itu harus dilihat sebagai endorsement buat Misha untuk mewarisi kegemilangan industri hiburan yang semakin ketandusan penghibur yang memilki persona.
Persembahan yang singkat itu digunakan sebaik mungkin oleh Misha untuk mewarnakan seluruh pentas dengan energi dan sebuah rangkuman perjalanan seninya.
Di pentas DFP, Misha dibantu oleh pengarah muzik yang disegani ramai, Datuk Ramli MS.
Adunan kreativiti Ramli dan kemantapan vokal Misha menyerlahkan konsert Misha sebagai sebuah pementasan yang sangat elegan.
Titik tumpuan This Is Misha tentu sekali ketika nyanyian lagu Riwayat Cinta yang diringi petikan piano oleh Ramli.
Misha membawa seluruh penonton untuk sama-sama larut dalam emosinya. Dia benar-benar menumpahkan perasaannya dalam Riwayat Cinta iaitu antara karya terbaik yang pernah dirakamkannya sepanjang bergelar penyanyi.
Secara peribadi, nyanyian Riwayat Cinta pada malam itu sangat anggun sekali
Pementasan This Is Misha dibuka dengan nyanyian medley Cinta Adam dan Hawa serta Sembunyi
sebelum dia memukau penonton dengan lagu Sampai Bila.
Demikian juga lagu-lagu Ku Seru, Pulangkan, Nafas Cahaya, Dedebu Cinta, Jawapanmu, Semoga Abadi dan diakhiri dengan Bunga-Bunga Cinta semuanya terlihat sempurna.
Dan kini, selepas menelusuri langkah yang panjang, Misha sudah boleh menarik nafas lega bahawa dia sudah mencapai kedudukan antara artis terbaik yang pernah dilahirkan oleh industri hiburan tanah air.
Pementasan This Is Misha di DFP semalam merupakan modal yang cukup ideal sebagai penjenamaan baharu profil seninya.
Pengurusan Misha harus bijak menjadikan pementasan yang sederhana namun cukup dengan ramuan yang menghiburkan untuk membawa anak kelahiran Kelantan itu ke tahap yang seterusnya.
Misha, teruslah melangkah dengan yakin dan berani. Untuk mencapai keinginan yang lebih besar, apa yang diperlukan ialah keberanian untuk menyahut cabaran baharu.
#Bunga-bunga Cinta
#Dewan Filharmonik Petronas
#Larut dalam emosi Misha Omar
#Misha Omar
#Ramli MS
#This Is Misha