Apabila penulis skrip segan, produser pun ambil kesempatan

Gempak
Jun 26, 2018 10:17 MYT
Dollah mendedahkan ada segelintir produser yang memberi alasan projek penerbitan itu masih belum dapat. Justeru, tiada bayaran dapat dilakukan. - Foto: c3a.org.sg
PENULIS skrip di negara ini terus berdepan dilema apabila kebanyakan daripada mereka masih menghantar kertas cadangan program penerbitan TV secara percuma kepada produser.
Senario tersebut bukan perkara baru berlaku dalam industri hiburan tempatan tetapi hakikatnya masih ramai produser yang tidak mahu mengikut syarat untuk membayar sejumlah wang kepada penulis skrip selepas menerima kertas cadangan yang diminta.
Seorang penulis skrip yang hanya mahu dikenali sebagai Dollah mengatakan situasi ini masih berlaku dan tiada perubahan meskipun segelintir penulis skrip cuba 'berkeras' mengenai isu bayaran.
"Biasanya produser perlu membayar antara RM150 sehingga RM200 untuk satu proposal yang dihantar penulis skrip. Bagaimanapun tidak semua produser mahupun penulis skrip mempraktikkan sistem ini," katanya kepada Astro Gempak.
Ujarnya, wujud situasi di mana penulis skrip sendiri yang segan untuk meminta bayaran selepas menghantar proposal mereka.
"Banyak faktor apabila berlaku perkara ini seperti jika dia penulis skrip baru atau apabila dia sendiri tahu penulis skrip 'otai' sendiri tidak minta bayaran sebelum ini jadi dia pun segan," katanya.
Dollah mendedahkan ada segelintir produser yang memberi alasan projek penerbitan itu masih belum dapat. Justeru, tiada bayaran dapat dilakukan.
"Memang sepatutnya penulis skrip dibayar atas proposal yang mereka hantar kerana mereka juga sudah melaksanakan kerja seperti yang diminta produser," katanya.
Tambahnya, Persatuan Penulis Lakon Layar Kuala Lumpur dan Selangor (PENULIS) sebelum ini bertindak aktif dalam membela nasib penulis skrip yang menjadi ahli mereka.
"Bagusnya PENULIS sendiri mengambil tindakan dengan bertemu produser dan ada kes berdepan produser yang berdegil, PENULIS sebaliknya terus berjumpa dengan pihak stesen TV," katanya.
Katanya, ada produser yang tidak membayar penulis skrip untuk proposal tapi cukup sekadar belanja makan.
Dollah menyeru agar pihak kerajaan lebih menandang serius isu penulis skrip ini agar sistem kerja antara dua pihak lebih adil dan tidak menguntungkan sebelah pihak sahaja. - Teks oleh: Elrafaei Sapi
#filem #hiburan #penulis skrip #produser #skrip #tv
;