Apa yang berlaku adalah titik hitam dan pengajaran buat saya - Erra Fazira
Azyyati Ahmad
Jun 19, 2019 19:06 MYT
Jun 19, 2019 19:06 MYT
Pelakon dan penyanyi Erra Fazira menolak untuk mengulas konflik yang melanda antara beliau dan sahabatnya Datin Seri Umie Aida baru-baru ini.
Kata Erra, tiada apa yang mahu diulas kerana apa yang terjadi diambil sebagai pengajaran dan merupakan titik hitam dalam hidupnya.
“Apa kenyataan yang saya keluarkan, itu sahajalah. Saya tidak mahu mengupas dan mengulas lanjut mengenainya. Apa yang terjadi adalah pengajaran dan ia juga merupakan satu titik hitam dalam hidup saya.
“Tetapi tidak bermakna titik hitam itu, hitam selamanya, kita melangkah ke hadapan dengan lebih positif. Saya harap semua doakan saya. Saya nak tutup buku,” jelasnya.
Tambah Erra, kematangan usianya menjadikan beliau tidak mahu memanjangkan isu berkenaan.
“Saya anggap ini lumrah kehidupan, saya ambil, saya terima dan saya hadamkan. Saya berazam untuk perbaiki. Semua perjalanan itu ada yang langgar lubang dan dinding, semua akan lalui. Saya langgar dinding, saya langar lubang, itu tak bermakna saya tempang dan tidak boleh maju ke hadapan. Saya boleh dan saya mahu ke hadapan dengan lebih positif,” katanya.
Erra ditemui pada majlis pelancaran musim baharu program bual bicara Mingguan Wanita di The Gardens, Kuala Lumpur hari ini.
Pada 13 Jun lalu, Umie menerusi laman Instagramnya mendedahkan dirinya dikhianati seorang sahabat baik.
Menerusi catatannya itu, Umie berkata dia tidak berniat untuk mengaibkan mana-mana individu namun beranggapan dirinya mempunyai hak untuk meluahkan rasa kecewa.
Susulan itu, Erra mengakui kesilapannya melukai sahabatnya itu telah memohon maaf buat kali ketiga.
Erra turut memberitahu Umie pernah menghubunginya bagi menyelesaikan kemelut yang melanda mereka dan persengketaan itu selesai selepas mereka bertemu empat mata untuk menjernihkan keadaan.