'Apa saya nak jawab kalau Keisha pun positif COVID-19?' - Nabila Huda

Astro Awani
Mei 23, 2021 12:00 MYT
Nabila khuatir bapa kandung Keisha termasuk ahli keluarga lain dan orang ramai akan memberi persepsi negatif terhadap dirinya. - Foto Instagram/Nabila Huda
NALURI seorang ibu pastinya tidak mahu anak dikasihi dijangkiti virus maut COVID-19.
Bagi selebriti Nabila Huda, situasinya mungkin lebih parah jika anaknya Keisha Laila turut dijangkiti wabak itu.
Nabila khuatir bapa kandung Keisha termasuk ahli keluarga lain dan orang ramai akan memberi persepsi negatif terhadap dirinya.
“Kalau anak saya positif, macam mana saya nak lalui semua ini kerana saya perlu jelaskan dengan bapa (kandung) dia.
“Saya takut sangat nanti masyarakat akan salahkan saya; bapa dia akan salahkan saya.
"Macam mana Keisha boleh dijangkiti? Saya bukan ibu yang baik?
"Macam-macam dalam fikiran,” katanya.
Sumber Facebook astroawani
Malah, dia akui berasa amat khuatir sekiranya ahli keluarga yang lain turut dijangkiti virus itu disebabkan oleh manusia yang pentingkan diri sendiri.
“Saya marah… kenapa manusia ini sangat degil?
"Manusia ini tidak kuat untuk kawal nafsu dia untuk kepentingan dia hingga menyebabkan orang lain kena lalui perkara sama.
“Apabila saya fikir berkenaan anak saya, suami dan keluarga, saya akan jadi paranoid,” katanya.
Nabila pada masa sama tidak menyangka Aidilfitri buat keluarga kecilnya itu berubah sepenuhnya tahun ini.
“Sebelum larangan ziarah, Aidilfitri tahun ini saya memang sudah rancang nak masak dengan ‘papa’ (Amy) sebab kami tak boleh balik Singapura (kampung suami).
“Saya cakap dekat dia (suami), tak apa, kita beraya dengan ‘papa’, mesti ‘papa’ gembira.
"Kami sudah rancang nak masak. Kami amat teruja.
“Tetapi apabila dekat hari raya, COVID-19 semakin teruk. Kemudian saya dah fikirkan yang raya tahun ini macam tak raya,” ujarnya.
Beliau berkongsi kisah melalui program Stars@AWANI semasa dia diarah menjalani kuarantin kendiri selepas disahkan positif virus COVID-19, beberapa hari sebelum Syawal menjelang tiba.
#COVID-19 #Nabila Huda positif COVID-19 #aidilfitiri #Keisha Laila #anak dijangkiti #kuarantin kendiri #Aidilfitri #hari raya #Amy Search
;