Apa penyanyi Cinta Nusantara, Sheqal buat di Pasar Payang?

Saharudin Musthafa
Disember 30, 2018 17:26 MYT
Menurut artis kelahiran Pahang itu, semenjak bergelar penceramah motivasi, sudah 3,000 sesi ceramah diberikannya di seluruh negara. - Foto Astro AWANI/Saharudin Musthafa
Masih ingat dengan penyanyi yang cukup popular sekitar era 1980-an, Sheqal?
Kalau dahulu dia aktif sebagai penyanyi nusantara, kini Sheqal atau nama sebenarnya, Shahrim Salehuddin lebih banyak memberi tumpuan pada perniagaan selain aktif sebagai penceramah motivasi.
Pada usia 53 tahun, Sheqal yang juga bekas suami penyanyi dan pelakon Raja Ema itu masih ramah dan tidak lekang dengan senyuman.
Dalam pertemuan dengan Sheqal secara tidak sengaja di Pasar Payang di sini pada Ahad, Astro AWANI berkesempatan menemubualnya.
Masih ramah seperti dahulu, penyanyi yang pernah masyhur dengan lagu Cinta Nusantara itu memberitahu, sekalipun sibuk dengaan perniagaan, namun minat pada bidang nyanyian tidak pernah pudar.
Kata Sheqal, walaupun sudah semakin jauh dari industri hiburan mainstream, undangan untuk mengadakan persembahan masih diterima terutamanya untuk majlis-majlis tertutup.
“Alhamdulillah undangan menyanyi masih saya terima. Saya tidak pernah bersara sebagai penyanyi, cuma jarang muncul di TV.
“Sekarang masa banyak diluangkan untuk perniagaan. Saya juga sering berulang-alik antara Kuala Terengganu dan Seremban kerana komitmen perniagaan,” kata Sheqal berkongsi perkembangan terbaharunya.
Di Pasar Payang, Sheqal bersama-sama isterinya, Ainie Mat Zin mengusahakan perniagaan menjual makanan kering.
Sementara pejabat di Seremban pula menjadi pusat operasi kerja-kerja motivasi yang diceburinya sejak 25 tahun lalu.
Menurut artis kelahiran Pahang itu, semenjak bergelar penceramah motivasi, sudah 3,000 sesi ceramah diberikannya di seluruh negara.
“Saya gembira dapat berkongsi pengalaman dan ilmu,” ujar Sheqal lagi.
Ditemani Ainie dalam temubual itu, Sheqal cukup romantik dengan isterinya. Beliau turut memperkenalkan isterinya kepada Astro AWANI.
“Ini isteri saya Ainie. Beliau mengusahakan perniagaan di sini (Pasar Payang). Bila saya balik ke Kuala Terengganu, saya akan bersama-samanya membantu berniaga,” ujar Sheqal.
Sheqal yang juga bapa kepada 12 cahaya mata termasuk dua orang anak bersama Raja Ema dan seorang cucu turut memberitahu, dia kini sedang dalam proses merakamkan single baharu.
Single berkenaan, katanya, sebagai mengubat kerinduannya pada bidang seni suara yang pernah memasyhurkan namanya.
“Selepas 18 tahun tidak muncul dengan lagu baharu, saya fikir sudah tiba masanya untuk saya rakam sebuah lagu,” kata Sheqal yang pernah merakamkan empat buah album sepanjang bergelar penyanyi.
Dalam pertemuan yang turut disertai pengacara dan personaliti terkenal, Datuk Aznil Nawawi itu, Sheqal begitu teruja bertemu sahabat lamanya itu.
“Saya sangat gembira dapat bertemu Datuk Aznil kerana sudah lama saya tak jumpa. Sebelum ini, ada dua tiga rakan artis lain yang pernah saya jumpa di sini (Pasar Payang). Terubat rindu saya pada mereka,” katanya rancak bercerita.
Ditanya sama ada dia tidak berminat untuk menyertai program realiti Gegarvaganza, sambil ketawa Sheqal berkata: “Tak kot. Bagilah peluang orang lain.”
#4 album Cinta Nusantara #Ainie Mat Zin #hiburan #motivasi #Pasar Payang #penyanyi #Shahrim Salehuddin #Sheqal
;